MANDALIKA: Juara bertahan MotoGP, Marc Marquez membidas tindakan MotoGP yang memperkenalkan denda terhadap pelumba yang tidak menghadiri aktiviti promosi, sambil menegaskan bahawa “kami memberikan persembahan di litar”.
Menurut Motorsport, e-mel diedarkan kepada pelumba ketika Grand Prix (GP) Indonesia yang memaklumkan mereka akan didenda €5,000 (RM22,850) jika tidak menghadiri acara promosi.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, peraturan baharu itu dikuatkuasakan bagi acara ‘Hero Walk’ pada pagi semalam, iaitu ruang pertemuan antara pelumba dengan peminat.
Pelumba diwajibkan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit di situ atau berdepan denda, dengan hukuman meningkat bagi setiap kesalahan berulang. Hukuman berbentuk penalti sukan turut dicadangkan.
MotoGP dilaporkan memantau kekurangan pembabitan pelumba dalam acara berkenaan sejak beberapa minggu lalu.
Perubahan peraturan itu dibuat seminggu selepas Marquez menghantar pelumba lagak ngeri untuk menggantikannya dalam acara kart sebelum perlumbaan di Jepun.
Ketika itu, Marquez menjelaskan dia perlu merehatkan bahunya serta mengutamakan dirinya dan cabaran kejuaraan berbanding aktiviti perhubungan awam.
Ketika diminta mengulas selepas menamatkan GP Indonesia di tempat keenam, Marquez berkata dia mahu membantu perkembangan MotoGP, namun berpendapat terlalu banyak tuntutan dikenakan terhadap pelumba ketika ini.
Menurutnya, keadaan itu akan menjadi lebih mencabar pada 2027 susulan format hujung minggu perlumbaan baharu yang merangkumi sesi kelayakan pecut.
“Sebagai pelumba, saya antara individu yang paling mahu MotoGP berkembang dan menjadi semakin besar.
“Namun, saya fikir ada cara lain untuk mengembangkan sukan ini tanpa terlalu membebankan pelumba,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






