Oleh: Wartawan IMedikel TV
KEMAMAN: Demi memenuhi hasrat anak tercinta untuk menerima sendiri ijazah di pentas konvokesyen, sepasang suami isteri sanggup menempuh perjalanan selama dua hari menggunakan ambulans dari Arau, Perlis, ke Banting, Selangor, sebelum meneruskan perjalanan ke Kemaman, Terengganu.
Pengorbanan itu dilakukan demi Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy, 23, yang menghidap kanser otak tahap empat selepas disahkan menghidap penyakit itu ketika berada di tahun akhir pengajiannya.

Meskipun keadaan kesihatannya memerlukan sokongan oksigen, ia tidak mematahkan semangat anak muda itu untuk menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian).
Malah, kejayaannya itu melayakkan Muhammad Afiq menerima Anugerah Khas Aegrotat pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI (UC TATI) Ke-26, sekali gus membolehkan impiannya untuk menggenggam ijazah menjadi kenyataan.
Bapanya, Kepten Ts Mohd Hairul Fahmy Yob, yang juga pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berkata keinginan anaknya untuk menghadiri sendiri majlis konvokesyen itu membuatkan mereka sekeluarga berusaha mencari jalan terbaik bagi memastikan perjalanan berkenaan dapat dilakukan dengan selamat.
Menurutnya, Muhammad Afiq tidak pernah menunjukkan sikap mudah berputus asa meskipun berdepan keadaan kesihatan yang semakin mencabar.

“Sememangnya untuk hadir ke majlis konvokesyen ini adalah kemahuannya sendiri yang kami tidak mampu untuk menolaknya walaupun kami menyedari ia satu perjalanan jauh. Kami tempuhi perjalanan selama dua hari untuk sampai ke sini kerana keperluan kesihatannya.
“Demi Afiq, kami sanggup mengusahakan segala-galanya malah pernah terfikir untuk mendapatkan penerbangan ihsan bagi membolehkannya hadir ke majlis konvokesyen ini. Namun, atas nasihat doktor, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk menaiki pesawat,” katanya.
Selepas mengambil kira keadaan kesihatan Muhammad Afiq, keluarga itu akhirnya meneruskan perjalanan menggunakan ambulans bagi memastikan keperluannya sepanjang perjalanan jauh berkenaan dapat dipenuhi.
Pengorbanan tersebut akhirnya membolehkan Muhammad Afiq hadir ke majlis berkenaan dan menerima sendiri Anugerah Khas Aegrotat dalam keadaan berkerusi roda, dengan ditemani kedua-dua ibu bapanya.
Anugerah itu disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Datuk Ir. Kamaluddin Abd Rashid, bersama Rektor, Profesor Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.
Bagi keluarga itu, perjalanan jauh yang ditempuhi bukan sekadar untuk menghadiri majlis konvokesyen, sebaliknya bagi memastikan Muhammad Afiq dapat merasai sendiri detik bermakna selepas berjaya menamatkan pengajiannya meskipun berdepan ujian kesihatan yang berat.
IMedikel TV






