Home Sukan MESSI SEBAK AKSI TERAKHIR BERSAMA ARGENTINA

MESSI SEBAK AKSI TERAKHIR BERSAMA ARGENTINA

BUENOS AIRES: Lionel Messi menitiskan air mata ketika bersiap untuk menutup tirai karier antarabangsa selama 21 tahun bersama Argentina dalam aksi persahabatan menentang Benin di Stadium Monumental, hari ini.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pemain berusia 39 tahun itu dilihat mengesat air mata ketika bas yang membawa dirinya dan rakan sepasukan meredah lautan penyokong sebelum tiba di stadium yang dipenuhi 85,000 peminat.

Menjelang sepak mula, jersi gergasi Argentina dengan tulisan ‘Gracias’ (terima kasih) di atas nombor 10 milik Messi dibentangkan di tengah padang, disambut sorakan gemuruh penyokong.

Messi sekali lagi dilihat sebak ketika lagu kebangsaan Argentina berkumandang, dalam perlawanan yang digelar ‘Tango Terakhir’ sebagai penghormatan kepada pemain yang dianggap antara terhebat dalam sejarah bola sepak.

Messi mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa pada Ogos lalu, menamatkan perjalanan bersama Argentina yang merangkumi 207 penampilan dan rekod 125 gol sepanjang lebih dua dekad. 

Perpisahan itu hadir dua setengah bulan selepas Argentina tewas kepada Sepanyol pada final Piala Dunia di New Jersey, dengan Messi meninggalkan padang dalam linangan air mata selepas pasukannya tewas 0-1 dalam perlawanan yang berlangsung tegang.

“Saya sudah memberikan segala-galanya, tiada apa lagi yang mampu saya berikan, selain terdapat pemain muda hebat yang sedang muncul dan mereka berhak mendapat peluang,” kata Messi ketika mengumumkan persaraannya.

Sebelum perlawanan, Universiti Buenos Aires turut menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepada Messi dalam satu majlis di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), satu penghormatan yang disambutnya dengan penuh bangga.

Messi masih mempunyai kontrak bersama Inter Miami sehingga 2028, namun selepas kematian bapanya, Jorge, dua bulan lalu, dia mengakui mungkin menamatkan karier kelab lebih awal daripada yang dirancang.

Beberapa anggota skuad Argentina yang menjuarai Piala Dunia 2022 turut mengambil bahagian dalam acara penghormatan itu, termasuk Angel Di Maria yang sudah bersara daripada pentas antarabangsa.

Timbalan kapten, Nicolas Otamendi, turut mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan pada hari sama. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here