Madrid: Carlos Espi muncul wira apabila menjaringkan gol pada minit ke-85 untuk membantu Real Madrid bangkit menewaskan Celta Vigo 2-1, sekali gus menyamai mata pendahulu La Liga, Barcelona, awal pagi tadi.
Memetik laporan Afp menerusi Harian Metro, Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Jose Mourinho meraih kemenangan kesembilan berturut-turut dalam semua pertandingan, sekali gus terus memberi tekanan kepada Barcelona yang berpeluang kembali melebarkan jurang kepada tiga mata apabila berdepan Villarreal, malam ini.
Real terlebih dahulu ketinggalan selepas Pablo Duran membuka jaringan buat Celta Vigo pada minit keenam menerusi gerakan serangan kemas yang menyaksikan Williot Swedberg meloloskan bola di celah kaki Dean Huijsen sebelum Duran menyudahkan peluang di hadapan gawang.
Kylian Mbappe berpeluang menyamakan kedudukan apabila memperoleh sepakan penalti selepas dikasari Javi Rodriguez di dalam kotak penalti, namun penyerang Perancis itu gagal memanfaatkannya apabila sepakannya melepasi palang pada separuh masa pertama.
Real terus meningkatkan tekanan selepas rehat dan Vinicius Junior yang dimasukkan pada awal babak kedua memainkan peranan dalam gol penyamaan apabila hantaran kepada Mbappe disudahkan Jude Bellingham dengan rembatan ke penjuru bawah gawang pada minit ke-66.
Eduardo Camavinga turut hampir meletakkan Real di depan menerusi percubaan yang tersasar tipis sebelum Espi memastikan kemenangan pasukan itu lima minit sebelum tamat permainan.
Bellingham memulakan gerakan dengan membawa bola ke hadapan sebelum melorongkan kepada Vinicius yang melakukan hantaran silang ke arah Espi, namun tandukannya ditepis penjaga gol Celta, Ionut Radu.
Espi bagaimanapun pantas menyambar bola muntah untuk menghasilkan gol kemenangan, sekali gus mencatat jaringan ketiganya dalam liga musim ini yang semuanya membantu Madrid meraih kemenangan pada saat akhir.
“Ini hari impian. Saya benar-benar mahu menjaringkan gol di sini, di hadapan penyokong Real. Ini hari yang saya impikan dan saya sangat gembira,” kata Espi kepada Real Madrid TV.
Mourinho turut memuji sumbangan pemain yang masuk dari bangku simpanan, sambil menegaskan kepentingan mengutamakan pasukan berbanding kepentingan individu.
“Ini soal nilai kemanusiaan, memahami bahawa pasukan lebih penting daripada mana-mana individu. Jika perlu bermain 90 minit, bermain 90 minit. Jika hanya satu minit, maka satu minit,” katanya.
Dalam aksi lain, Sevilla terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat 1-1 oleh Real Betis dalam aksi derbi apabila Kike Salas menyamakan kedudukan pada minit ke-91 selepas Antony meletakkan Betis di depan menerusi jaringan yang terkena defleksi pada awal babak kedua.
Valencia pula meraih kemenangan 1-0 di laman Rayo Vallecano untuk keluar sementara daripada zon penyingkiran, manakala Alaves menewaskan Deportivo La Coruna 3-1 bagi melonjak ke tangga kelapan. – AFP, Harian Metro –
IMedikelTV






