Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Lebih 250 ahli keluarga daripada lima generasi waris Allahyarham ‘Aki Awang Cik’ berhimpun buat julung kali di Dewan Kampung Cherok Paloh, di sini semalam, bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan serta menyambung silaturahim antara generasi.
Himpunan berkenaan menghimpunkan waris berusia seawal dua bulan hingga 85 tahun dengan pelbagai pengisian termasuk majlis tahlil dan doa selamat, jamuan keluarga, sukaneka, pertukaran hadiah serta sesi mengimbau sejarah keturunan keluarga berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Muhammad Suhaimi Zainudin, berkata berdasarkan sejarah keluarga, Allahyarham Awang dan isterinya, Mek Som Bulat menetap di Kampung Cherok Paloh serta mengusahakan tanaman padi sebagai sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
Pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata, terdiri daripada dua perempuan dan tiga lelaki sebelum masing-masing berhijrah selepas berumah tangga untuk membina kehidupan bersama keluarga sendiri.

Menurutnya, meskipun keturunan waris ‘Aki Awang’ masih ramai, hanya kira-kira 250 ahli keluarga berkesempatan menghadiri perhimpunan berkenaan berikutan kekangan tugas dan urusan lain.
“Bukan suatu tugas mudah menghimpunkan ahli keluarga seramai ini yang terdiri daripada generasi berbeza, namun demi memastikan hubungan silaturahim terus erat dan setiap ahli keluarga saling mengenali, masing-masing memberikan komitmen terhadap majlis ini.
“Matlamat utama kami adalah untuk menyatukan semula seluruh keluarga daripada pelbagai generasi supaya dapat mengenali antara satu sama lain, sekali gus memudahkan urusan menjaga kebajikan serta saling membantu apabila diperlukan,” katanya ketika ditemui.
Muhammad Suhaimi yang juga waris generasi ketiga berkata, perancangan mengadakan himpunan itu bermula sejak awal tahun ini, namun hampir tidak menjadi kenyataan berikutan kesukaran mendapatkan tarikh yang sesuai.

Bagaimanapun, selepas beberapa kekangan termasuk penangguhan daripada tarikh asal pada bulan lalu, program berkenaan akhirnya berjaya direalisasikan.
“Sokongan dan kerjasama jawatankuasa yang dilantik, selain bantuan penaja, menjadi antara faktor kejayaan program yang pastinya tercatat dalam sejarah waris ‘Aki Awang’,” katanya.
Sementara itu, Mohd Al Hamadi Abu Bakar yang merupakan waris generasi kedua menyifatkan perhimpunan sulung itu amat bermakna kerana memberi peluang kepada ahli keluarga bertemu, khususnya generasi muda yang sebelum ini tidak pernah dikenalinya.
” Sebelum ini saya hanya mengenali ahli keluarga dalam kalangan sepupu, tetapi generasi selepas itu tidak lagi dikenali kerana tidak pernah berpeluang bersua muka.
“Program kali pertama ini begitu bermakna dan saya berharap himpunan waris ‘Aki Awang’ dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya yang juga pesara guru.
IMedikelTV






