Home Buletin Semasa SEKOLAH SELURUH DAERAH BATU PAHAT DITUTUP SUSULAN IPU CECAH 208

SEKOLAH SELURUH DAERAH BATU PAHAT DITUTUP SUSULAN IPU CECAH 208

Oleh: Wartawan IMedikel TV

BATU PAHAT: Semua sekolah, tadika dan taska di seluruh daerah ini diarahkan ditutup mulai hari ini, susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 208 pada jam 9 malam tadi, yang dikategorikan sebagai tahap sangat tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat susulan keadaan jerebu yang melanda daerah berkenaan serta mengambil kira keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah.

Beliau berkata, JPBD Batu Pahat bersama agensi berkaitan sedang memantau perkembangan kualiti udara dan bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Susulan bacaan IPU yang melebihi 200, sekolah-sekolah, tadika dan taska di seluruh daerah Batu Pahat diarahkan ditutup mulai 7 Oktober (hari ini).

“Keputusan ini selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) serta garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Muhammad Naqib berkata, pihak sekolah hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, tertakluk kepada arahan dan garis panduan yang berkuat kuasa.

Katanya, pihak sekolah juga perlu memaklumkan kaedah pelaksanaan PdPR, tugasan murid serta saluran komunikasi kepada ibu bapa atau penjaga melalui saluran rasmi sekolah.

“JPBD Batu Pahat bersama agensi berkaitan akan meneruskan pemantauan bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Sebarang keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah hendaklah berdasarkan perkembangan kualiti udara dan arahan rasmi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), KPM, JPNJ, PPD Batu Pahat dan Pejabat Daerah Batu Pahat serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Terdahulu, bacaan IPU di Batu Pahat dilaporkan mencatatkan 203 pada jam 8 malam sebelum meningkat kepada 208 pada jam 9 malam.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here