Home Buletin Semasa BAWA TIGA WARGA BANGLADESH TANPA DOKUMEN SAH, PEMANDU LORI POSITIF DADAH

BAWA TIGA WARGA BANGLADESH TANPA DOKUMEN SAH, PEMANDU LORI POSITIF DADAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

JELI: Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki membawa tiga lelaki warga Bangladesh yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah dalam pemeriksaan polis di Sekatan Jalan Raya Batu 6, Batu Melintang, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam pada Sabtu itu, lelaki terbabit yang memandu lori jenis Fuso berwarna hijau ditahan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli ketika menjalankan tugas Snap Check.

“Pemeriksaan mendapati ketiga-tiga penumpang warga Bangladesh itu memiliki Pas Lawatan yang sudah tamat tempoh.

“Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan membawa kesemua lelaki terbabit dari Terengganu untuk ke Perak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata lebih mengejutkan, pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori itu positif dadah, selain polis turut merampas sebotol cecair disyaki air ketum yang ditemukan di dalam kenderaan berkenaan.

“Ketiga-tiga warga Bangladesh itu pula mengaku sudah menetap di Malaysia melebihi tiga tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan buruh.

“Kesemua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap pemandu lori akan dibuat di Mahkamah Majistret Jeli selama empat hari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Menurutnya, polis memandang serius sebarang aktiviti membabitkan perlindungan atau penyalahgunaan kenderaan bagi membawa dan memindahkan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

Katanya, tindakan penguatkuasaan serta pemeriksaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan seumpama itu demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Jeli sentiasa terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here