Home Buletin Semasa KANAK-KANAK 20 BULAN HILANG DI KAMPUNG BECHAH SALAK

KANAK-KANAK 20 BULAN HILANG DI KAMPUNG BECHAH SALAK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan dilaporkan hilang di kawasan sekitar rumahnya di Kampung Bechah Salak, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Nik Ahmad Afsham Nik Pa memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi sistem NG999 pada jam 6.37 petang.

“Seramai sembilan anggota dari BBP Kuala Krai bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 6.44 petang.

“Komander operasi yang melakukan penilaian awal di lokasi mengesahkan kejadian kehilangan kanak-kanak berkenaan sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan.

“Pencarian tertumpu di kawasan sekitar rumah mangsa, termasuk kawasan kolam dan hutan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi itu turut mendapat bantuan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam bagi memperluaskan usaha mengesan mangsa.

“Bagaimanapun, keadaan cuaca yang semakin gelap menjadi antara cabaran dalam operasi pencarian berkenaan,” katanya.

Sehingga kini, kanak-kanak terbabit masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here