BAITULMAQDIS: Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, berkata kumpulan Islam Palestin, Hamas, akan diberikan tempoh akhir dalam masa terdekat untuk melucutkan senjata mereka.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, dalam satu wawancara, Smotrich berkata dalam tempoh beberapa hari lagi Hamas akan diberikan kata dua untuk melucutkan senjata dan mengundurkan kesemua askar dari Gaza sepenuhnya.
Israel sebelum ini menyerang Semenanjung Gaza pada 2023 sebagai tindak balas terhadap serangan luar biasa Hamas pada 7 Oktober.

Fasa pertama gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) di Gaza bertujuan menghentikan perang selama dua tahun, di mana tentera Israel berundur ke kedudukan di belakang garis yang dikenali sebagai ‘garisan kuning’, namun Israel masih menguasai lebih separuh wilayah itu.
Hamas dan Israel saling menuduh antara satu sama lain kerana melanggar perjanjian gencatan senjata hampir setiap hari, dengan Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 615 orang terbunuh akibat tindakan tentera Israel sejak gencatan senjata bermula.
Tentera Israel pula memaklumkan bahawa lima anggotanya terkorban dalam tempoh sama.
Smotrich, yang juga anggota Kabinet keselamatan Israel yang bertanggungjawab meluluskan operasi ketenteraan berskala besar.
“Sekiranya Hamas gagal mematuhi kata dua untuk melucutkan senjata, tenteranya mempunyai legitimasi antarabangsa serta sokongan AS untuk melaksanakannya sendiri, dan IDF (tentera) sudah pun membuat persiapan serta merangka pelan tindakan.
Fasa kedua gencatan senjata yang secara rasmi bermula bulan lalu memperuntukkan pengunduran berperingkat tentera Israel serta pelucutan senjata Hamas, sesuatu yang ditentang keras oleh kumpulan pejuang itu.
“(Tentera Israel) pasti akan memasuki dan menduduki Gaza jika Hamas tidak melucutkan senjata,” kata Smotrich.
Ditanya mengenai kaedah pelaksanaan, beliau berkata: “Ketika ini terdapat dua atau tiga alternatif yang sedang kami teliti”.
Pelan damai yang dikemukakan Presiden AS, Donald Trump, turut mencadangkan penubuhan pasukan pengaman berkekuatan 20,000 anggota dikenali sebagai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), dengan beberapa negara sudah menyatakan komitmen menghantar tentera.
Ditanya bagaimana tentera Israel akan bertindak terhadap Hamas sekiranya tentera asing ditempatkan di lapangan, Smotrich berkata pasukan itu akan berundur dan memberi laluan kepada tentera Israel untuk masuk.
“Namun setakat ini saya belum melihat mereka akan masuk secepat itu,” tambahnya merujuk kepada ISF.
Sementara itu, sumber keselamatan di Gaza berkata semalam bahawa tentera Israel membedil Beit Lahia di utara wilayah berkenaan.
Sumber itu turut memaklumkan bahawa kereta kebal Israel melepaskan tembakan di bandar Khan Younis di selatan Gaza, dengan sekurang-kurangnya dua serangan udara turut dilancarkan.
Tentera Israel semalam menyatakan bahawa pasukannya ‘menghapuskan’ seorang pejuang yang melintasi garisan kuning ke kawasan yang dikuasai Israel sehari sebelumnya. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






