Home Hiburan SENIMAN GESA SYARIKAT PRODUKSI HORMATI RAMADAN

SENIMAN GESA SYARIKAT PRODUKSI HORMATI RAMADAN

165
0

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) meminta penggiat seni menyusun jadual kerja secara lebih berhemah sepanjang Ramadan bagi memberi ruang kepada kru dan pelakon beragama Islam beribadat dengan sempurna.

Memetik laporan Berita Harian, Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, 45, berkata Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya, medan memperhalusi adab, disiplin dan menjaga kebajikan dalam industri seni tanah air.

“Kalau boleh, waktu bekerja biarlah berpatutan supaya tidak mengganggu ibadat dan puasa mereka yang beragama Islam ketika menjalani penggambaran.

“Kita faham Ramadan adalah bulan mulia dan ramai mengambil peluang tambah pahala. Jika boleh, penggambaran dihabiskan lebih awal agar ada ruang untuk beribadat,” katanya kepada BH Online.

Menurut Zed, penyediaan ruang solat dan kemudahan asas seperti tempat mengambil wuduk perlu diberi perhatian syarikat produksi, terutama jika penggambaran dijalankan pada waktu malam dan mengambil tempoh panjang.

“Sekiranya penggambaran tidak dapat dielak, sediakan ruang dan kemudahan untuk beribadat. Ini termasuk tempat solat yang sesuai supaya memudahkan mereka menunaikan solat tarawih atau solat Subuh.

“Kemudahan asas seperti ini penting supaya kebajikan kru dan pelakon beragama Islam terus terjaga sepanjang berada di set penggambaran,” ujarnya.

Mengulas garis panduan kebajikan kru dan artis, Zed menegaskan penyediaan juadah berbuka puasa perlu diberi perhatian serius.

“Apabila masuk waktu berbuka, penggambaran wajar dihentikan seketika. Pihak produksi hendaklah menyediakan makanan yang mencukupi dan berkualiti kerana mereka seharian berpuasa di set.

“Elakkan hanya menyediakan makanan ringan seperti kuih-muih tanpa hidangan berat. Pastikan juadah mencukupi supaya tiada aduan berkaitan kebajikan pekerja seni,” katanya.

Zed turut berpandangan penjimatan kos daripada ketiadaan hidangan sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang sepanjang Ramadan boleh disalurkan kepada penyediaan juadah berbuka yang lebih sempurna.

“Penggambaran dalam Ramadan sebenarnya lebih menjimatkan kos. Jadi, tidak salah jika penjimatan itu digunakan untuk menyediakan juadah berbuka yang lebih berkualiti dan mencukupi.

“Apabila kebajikan terjaga, tenaga mereka juga kekal dan secara tidak langsung kualiti lakonan akan menjadi lebih baik,” katanya.

Zed juga mengingatkan penggiat seni supaya lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian dalam media sosial sepanjang bulan mulia ini.

“Aurat perlu dijaga dan berkelakuan baik dalam media sosial. Hormatilah Ramadan, elakkan berpakaian keterlaluan atau memuat naik kandungan yang mencolok mata.

“Jaga juga tutur kata supaya tidak menyakiti hati orang lain. Elakkan mencarut atau melontarkan kata-kata tidak memberi faedah,” katanya.

Zed turut mencadangkan konsep ‘cooling period’ diamalkan sepanjang Ramadan sebagai ruang bermuhasabah dan memperbaiki diri.

“Ramadan adalah masa untuk belajar membuat kebaikan dan membawa mesej positif kepada masyarakat. Kita ini artis dan sentiasa menjadi perhatian umum.

“Apa sahaja yang kita lakukan akan dinilai. Jadi gunakan media sosial untuk menyampaikan mesej positif dan elakkan perkara yang boleh mencetuskan perbalahan atau memecahbelahkan keharmonian industri kreatif serta negara,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here