MADRID: Kylian Mbappe menandatangani kontrak lima tahun untuk berpindah ke Real Madrid dari Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi tadi dan menganggap perpindahan itu satu “impian menjadi nyata.”
“The Whites mengukuhkan skuad mereka dengan seorang superstar dunia,” menurut Real dalam laman sesawang mereka.
“Real Madrid bersetuju dengan pemain itu untuk berada di Real Madrid bagi lima musim berikutnya,” menurut mereka.
Pengumuman itu adalah kemuncak percubaan lama Real untuk mendapatkan khidmat seorang daripada penyerang paling prolifik di dunia.
“Terlalu gembira dan bangga untuk menyertai kelab impian saya @realmadrid. Tiada siapa akan faham betapa terujanya saya ketika ini. Tidak sabar untuk bertemu anda, Madridistas dan terima kasih kerana sokongan luar biasa anda,” tulis Mbappe dalam laman sosial.
Real kali pertama memujuk Mbappe pada 2012 apabila mereka menjemput pemain berusia 13 tahun ketika itu untuk menghabiskan seminggu bersama mereka. Ketika kunjungan itu dia bergambar dengan idolanya Cristiano Ronaldo.
Awal pagi tadi, Ronaldo, yang kini beraksi di Arab Saudi, memberi komen di hantaran Instagram Mbappe, menunjukkan pemain remaja itu lencana kelab di jersi Real.
“Giliran saya” untuk melihat anda pula, tulis Ronaldo. “Teruja untuk melihat anda menyinari Bernabeu.”
Mbappe bersetuju untuk berpindah ke Real pada Februari lalu dan mengumumkan pada Mei dia akan meninggalkan PSG pada hujung musim lalu.
Real, masih segar daripada kejayaan memenangi Liga Juara-Juara kali ke-15 Sabtu lalu selepas menang 2-0 ke atas Borussia Dortmund, kemudian mengesahkan perjanjian itu awal pagi tadi sebelum Mbappe terbabit dengan aksi persahabatan menjelang Euro 2024 bersama Perancis. – AFP,BH Online –
Imedikel TV






