NEWCASTLE, England: Cole Palmer meledak gol sulungnya bersama England apabila gol penalti penyerang Chelsea itu mencetus inspirasi kemenangan 3-0 ke atas Bosnia Herzegovina pada aksi persahabatan pemanas badan Euro 2024 awal pagi tadi.
Palmer menandakan penampilan pertama dalam kesebelasan utama Three Lions dengan menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua di gelanggang Newcastle, St James’ Park.
Ia hanya penampilan ketiganya bersama England, pemain berusia 22 tahun itu mengekalkan kecemerlangannya bersama Chelsea dalam usaha mengetuk pintu skuad Gareth Southgate bagi Euro 2024.
Trent Alexander-Arnold seorang lagi pemain England yang beraksi cemerlang pada aksi kedua terakhir sebelum Euro 2024 bermula di Jerman.
Bintang Liverpool itu – sekali lagi ditugaskan di bahagian tengah berbanding pertahanan kanan oleh Southgate – menyumbat gol kedua England untuk melengkapkan persembahan memukau.
Harry Kane, yang tampil dari bangku simpanan pada babak kedua selepas kembali cergas, menjaringkan gol ketiga pada saat akhir bagi membantu kemenangan England yang kurang konsisten.
“Perkara yang hebat kami mengharungi beberapa hari terakhir tanpa sebagai masalah besar (kecederaan),” kata Southgate.
“Kami berdepan lawan yang bersemangat dan memberikan tentangan sengit, jadi secara fizikal ia satu perlawanan pemanas badan yang bagus.”
Selepas seri dengan Macedonia Utara dalam aksi terakhir kelayakan Euro sebelum tumpas kepada Brazil dan seri dengan Belgium pada perlawanan persahabatan Mac lalu, kemenangan pertama England dalam empat perlawanan mencetus lebih banyak persoalan buat Southgate.
Palmer, Alexander-Arnold dan pemain tengah Crystal Palace, Eberechi Eze mencerahkan peluang mereka untuk menerima tiket penerbangan ke Jerman. – AFP,BH Online –
Imedikel TV






