Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Seorang pelajar kurang upaya (OKU), Raja Amirul Mukmin Raja Safari, 18, yang mendapat keputusan cemerlang 8A1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini bertekad mahu ke universiti bagi mengubah nasib keluarga.
Dia yang belajar di Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang pernah tinggal di sebuah reban ayam bersama keluarga sebelum ini tidak mahu menjadikan alasan cacat fizikal tangan mengecil dan miskin sebagai penghalang untuk cemerlang.
Raja Amirul Mukmin berkata bagi membuktikan dia mampu berjaya seperti insan normal lain dengan belajar bersungguh-sungguh terutama ketika hampir peperiksaan.
“Sebelum ini untuk mentelaah pelajaran tidak sesukar mana tetapi apabila hampir dengan peperiksaan sebenar, banyak cabaran bersama rakan-rakan dihadapi di asrama, namun saya tidak membiarkan ia menguasai diri.
“Saya sedar saya OKU dan perlu berdisplin serta memberi penumpuan lebih berbanding rakan-rakan normal terutama bagi mata pelajaran yang belum dikuasai termasuk Bahasa Inggeris dan Matematik Tambahan,” katanya selepas ditemui pemberita di Kampung Gong Tengah, Cherang Ruku, baru-baru ini.
Hari ini, Raja Amirul Mukmin dan keluarganya dikunjungi wakil Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Saipul Bahari Ab Manaf, Pengetua SMS Machang, Muhammad Daud dan wakil Setiausaha Politik Perdana Menteri (Ahmad Farhan Fauzi), Zainuddin Ghazali.
Terdahulu media sebelum ini menyiarkan kisah kejayaan keputusan SPM Raja Amirul Mukmin dari keluarga miskin tegar pernah tinggal di reban ayam yang dibaik pulih.
Raja Amirul Mukmin berkata walaupun dia berada di asrama penuh dengan jadual padat, namun dia tetap bangun mengulangkaji seawal 3 pagi.
Dia berkata dia mengidamkan untuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang Kimia, namun setakat ini dia sudah menerima tawaran zakat dari Tabung Amanah Zakat Universiti Teknologi Petronas (TAZU), UTP.
Sementara itu Zainuddin berkata sebagai wakil dari pihak Perdana Menteri, kerajaan MADANI menyantuni pelajar OKU dari keluarga berpendapatan rendah (B40) yang mendapat keputusan cemerlang SPM.
“Kerajaan MADANI prihatin dari segi kebajikan dan akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa serta memastikan keperluan pengajiannya dipenuhi sehingga tamat belajar,” katanya.
IMEDIKEL TV






