KUALA LUMPUR: Pelakon Lana Nodin mendakwa menjadi mangsa penipuan pasangan suami isteri apabila mengalami kerugian hampir RM12,000, baru-baru ini.
Memetik laporan menerusi Harian Metro Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nodin, 46, berkata pasangan terbabit yang mengusahakan syarikat tekstil gagal menyiapkan tempahan tudung dijanjikan walaupun bayaran sudah dibuat sejak Januari lalu.
“Perkara ini berlaku sejak Januari lalu, tapi saya tak perasan pula pelakon Abby Abadi pun pernah kena tipu dan mengamuk dengan orang yang sama sebelum ini.
“Saya pula sibuk dari Januari nak buat tudung dan ‘door gift’ (cenderahati) untuk majlis perkahwinan seorang saudara ketika itu.
“Selain Abby, saya dapat tahu, rupa-rupanya ramai yang sudah menjadi mangsanya dan mengalami kerugian puluhan ribu ringgit,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, di sini, kelmarin dan pihak polis memberitahu siasatan akan dijalankan.
“Apa yang saya marah dan bengang kes penipuan membabitkan pasangan suami isteri itu sudah beberapa kali dilaporkan oleh mangsa lain, tapi kenapa masih tidak ambil tindakan?
“Pasangan suami isteri itu menggunakan modus operandi yang sama untuk menipu mangsa dan mereka masih bebas sampai sekarang?
“Saya juga difahamkan laporan polis dibuat ramai mangsa penipuan kepada pasangan suami isteri terbabit sejak 2017 lagi,” katanya.
Pada masa sama, kata Lana, dia membuat pendedahan mengenai kes penipuan itu untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai.
“Saya harap orang ramai akan lebih berhati-hati dan mengelak daripada menjadi mangsa penipuan ‘scammer’ yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini,” katanya.
Terdahulu, Lana meluahkan rasa kecewa apabila menjadi mangsa penipuan pasangan suami isteri dari sebuah syarikat tekstil.
Menerusi perkongsian di Instagram, Lana berkata, pelakon Abby Abadi juga pernah menjadi mangsa penipuan terbabit.
“Ini muka laki bini penipu ‘scammer’ besar.
“Bayar tempahan tudung sejak Januari, sampai sekarang barang tak sampai. Modus operandi mereka sama, ambil duit deposit, janji siapkan ‘design’, tapi hasilnya tiada.
“Ramai yang sudah terkena sampai ke Brunei. Sekarang semua akaun media sosial mereka sudah dipadam, kedai di Semenyih dan Bangi pun hilang dari radar,” tulisnya. – HMetro –
IMedikel TV






