Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan mengesan cubaan sindiket menyeludup rokok putih menggunakan taktik membawa masuk dalam kuantiti kecil bagi mengurangkan kerugian sekiranya ditahan pihak berkuasa.
Dalam operasi di perairan Kuala Kemasin, Bachok pada jam 3 pagi Selasa lalu, pihak Maritim menemui sebuah bot fiber hitam yang tidak berdaftar membawa 55 peti berisi 550,000 batang rokok putih.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata sindiket terbabit dikesan menukar modus operandi dengan mengecilkan jumlah rokok yang dibawa masuk berbanding sebelum ini.

“Sekarang ini jumlahnya agak kecil, mereka menukar taktik dengan membawa masuk dalam kuantiti kecil bagi mengelakkan kerugian besar sekiranya ditahan pihak berkuasa.
“Apabila menyedari kehadiran pihak kami, mereka terus melarikan diri dan meninggalkan rokok berkenaan. Barang tersebut ditinggalkan dalam keadaan gelap dipercayai kerana tidak sempat dibawa keluar, sekali gus mengelak daripada ditangkap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali, di sini, hari ini.
Beliau berkata risikan selama tiga minggu menerusi Op Naga, Op Damai dan Op Tiris di perairan negeri berjaya membongkar kegiatan itu.
Sindiket terbabit turut menggunakan ‘tonto’ di beberapa lokasi sebagai pemerhati.

“Bot yang ditemui berwarna hitam dan tidak mempunyai nombor pendaftaran disyaki digunakan untuk menyeludup membawa masuk rokok-rokok yang tidak bercukai.
“Kita sudah merampas sebuah bot dan kesemua 55 peti bungkusan plastik lutsinar yang mempunyai rokok putih dengan anggaran bernilai RM400,000,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barangan tidak bercukai dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana menggunakan bot yang tidak berdaftar.
IMedikel TV






