Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyifatkan kes pukul individu Orang Kurang Upaya (OKU) di Kemamam baru-baru ini adalah tidak berperikemanusiaan.
JKM dalam suatu kenyataan memaklumkan, mangsa adalah Pemegang Kad OKU Kategori Mental yang mendapat kelulusan Kad OKU sejak 19 Mac 2023.
“Kami berasa kesal berikutan kejadian itu dan menzahirkan rasa simpati serta sokongan kepada mangsa dan keluarganya.
“Perbuatan tersebut berada di luar batas tatasusila kehidupan masyarakat yang sudah ditetapkan dalam negara,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, JKM melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kemamam turut memberi bantuan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) kepada keluarga mangsa menerusi sesi kaunseling bagi membantu menstabilkan emosi mereka.
Tidak ketinggalan juga, JKM turut berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas yang diambil serta berharap siasatan dapat diselesaikan segera dan pesalah dikenakan hukuman.
“JKM juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang bersolidariti menzahirkan rasa simpati kepada OKU yang teraniaya ini.
“Sifat ihsan sebegini harus ditanam dalam diri setiap individu supaya tiada yang akan melakukan tindakan diluar batas kemanusiaan kepada sesiapapun di masa hadapan,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, I Medikel TV melaporkan seluruh pengguna media sosial dikejutkan dengan video yang tular berkaitan individu OKU dipukul oleh beberapa orang di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai pada 17 Januari lalu.
Kejadian terbabit mengundang kesedihan, dan menyayat hati penonton yang melihatnya.
IMedikel TV






