Kelantan Darul Naim FC mengekang kemaraan PDRM FC 1-0 dalam saingan Liga Super Malaysia 2024/25 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Beraksi dihadapan lebih 2100 penyokong yang bertandang, skuad bimbingan Park Jaehong bermula garang setelah melakukan percubaan tepat pertama menerusi rembatan Bae KyeongHwan pada minit kedua.
PDRM FC yang mempertaruhkan gandingan penyerang import, Ifedayo serta Bruno Suzuki sekali sekala turut mengancam kubu Sang Kijang Emas tetapi dikekang cemerlang jentera pertahanan diketuai Michal Jerabek.
Pada minit ke-27, sepakan percuma Oday Kharoub menuju kepada Kim Lik Wan namun tandukan pemain import Korea ini terkena tiang, susulan yang cuba dilakukan Michal Jerabek bagaimanapun menyaksikan pemain ini dijatuhkan oleh pertahanan PDRM FC, Alif Najmi dalam kotak penalti.
Bantahan keras pemain Kelantan Darul Naim FC menyebabkan pengadil perlawanan, Muhammad Syukor Zulkiflee terpaksa merujuk video bantuan pengadil (VAR) seterusnya menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah.
Oday Kharoub yang ditugaskan mengambil sepakan tidak berdepan masalah menyepak masuk ke sebelah kiri menewaskan penjaga gol PDRM FC, Bryan See pada minit ke-28.
.
Jaringan itu hampir digandakan pada penghujung babak pertama apabila Bae Kyeong Hwan mendapat dua peluang terbaik tetapi kegopohan penyerang ini melepaskan rembatan mengecewakan kem Kelantan Darul Naim FC.
Pada babak kedua, serangan pertama Kelantan Darul Naim FC menepati sasaran melalui penyudah Valdumar tetapi dibatalkan kerana dikesan berada kedudukan offside.
Lorongan Oday Kharoub kepada Bae Kyeonghwan disudahkan dengan rembatan tersasar pada minit ke-61.
Dua puluh minit terakhir sangat mendebarkan setelah ketua jurulatih PDRM FC, P. Maniam mengubah taktikal demi mencari jaringan penyamaan.
Deretan peluang dicipta namun pertahanan tuan rumah kekal berdisiplin untuk menghalang setiap gerakan yang diatur menerusi pemain import gantian, Obus Prince Austin.
Berpunca dari satu serangan balas pada minit ke-81, hantaran menarik Asraff Alifuddin ditanduk Valdumar yang tidak dikawal namun sedikit sahaja keluar ketika Bryan See sudah tertewas.
Pada minit akhir perlawanan, Ifedayo menerima hantaran dari sebelah kiri kawasan Kelantan Darul Naim FC tetapi penyerang ini memilih melepaskan peluang itu dengan merembat jauh tidak mengancam penjaga gol, Muhaimin Mohamad sekaligus mengekalkan keputusan 1-0 sehingga tamat perlawanan.- Page FB KELANTAN DARUL NAIM FOOTBALL CLUB –
Imedikel TV






