Home Sukan PULISIC CEMERLANG BANTU AS BENAM BOLIVIA

PULISIC CEMERLANG BANTU AS BENAM BOLIVIA

ARLINGTON, Amerika Syarikat: Christian Pulisic meledak satu gol dan membantu untuk satu lagi ketika Amerika Syarikat (AS) memulakan kempen Copa America dengan kemenangan 2-0 dalam Kumpulan C mengatasi Bolivia sebentar tadi.

Kapten AS, Pulisic melencongkan bola untuk gol awal dan membantu untuk gol kedua Folarin Balogun sebelum tamat babak pertama di Stadium AT&T dekat Arlington.

Dua gol itu sudah cukup untuk memberikan tiga mata penting buat skuad kendalian Gregg Berhalter yang akan berdepan Uruguay dan musuh setempat, Panama pada peringkat kumpulan.

“Kami bermain dengan intensiti yang bagus,” kata Pulisic selepas perlawanan.

“Jelas memang gol awal banyak membantu kami, tapi secara keseluruhan ia adalah persembahan dominan.

“Kami boleh menjaringkan beberapa gol lagi, tapi ia permulaan yang sangat bagus dalam kejohanan ini. Kami patut membina keyakinan daripada ini; perlawanan akan bertambah sukar dari sekarang, jadi kami harus bersedia.”

Berhalter memberikan amaran buat pasukannya supaya tidak memandang rendah Bolivia yang hanya menang satu perlawanan daripada sembilan edisi Copa America sejak 1999.

Pulisic tidak mahu pasukan Amerika Selatan iru memperbaiki rekod berkenaan apabila meletakkan tuan rumah di depan selepas hanya tiga minit.

Selepas menerima bola dari sudut kiri, kapten AS itu melepaskan sepakan ke arah gol yang dapat ditepis penjaga gol Bolivia, Guillermo Viscarra tetapi tidak cukup untuk menghalang bola menerjah gawang.

AS menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-44 dan sekali lagi Pulisic terbabit.

Selepas menerima bola dari tengah padang, penyerang AC Milan itu terus mara ke dalam kotak penalti Bolivia dan mengumpan buat Balogun yang menyepak rendah ke sudut gawang. – AFP,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here