Lantang memperjuangkan isu Palestin membuatkan nama Rafidah Ibrahim sering menjadi perhatian pengikut.
Sebagai manusia biasa, Rafidah mengaku hatinya bagai direnggut setiap kali melihatkan penindasan yang berlaku kepada penduduk di Gaza dan Rafah yang saban hari hidup dalam ketakutan.
“Sebab itu saya lantang memberikan pandangan dan menyebarkan kefahaman kepada mereka yang mengikuti saya melalui media sosial.
“Saya ambil ini sebagai tanggungjawab bukan untuk diri sendiri semata-mata, tetapi juga untuk seluruh umat Islam bagi menyokong Palestin.
“Saya mahu kita bersatu hati bukan sebagai rakyat Malaysia sahaja, sebaliknya sebagai komuniti sejagat bagi menghantar isyarat kepada dunia yang kita peduli kepada mereka yang menjadi mangsa kekejaman ini,” katanya.
Tambah Fida, dia sedar ada segelintir rakyat Malaysia yang masih kurang memahami kekejaman yang berlaku kepada rakyat Palestin dan sudah menjadi tanggungjawabnya memberikan kefahaman supaya mereka memahami lebih jelas situasi di sana.
Atas sebab itu, Fida sentiasa memberikan kefahaman melalui video yang dimuat naik melalui akaun media sosial miliknya supaya timbul kesedaran mengenai Palestin.
“Apa yang menggembirakan saya apabila melihat ramai bukan Islam mula faham situasi di sana dan memberikan sokongan kepada Palestin. Ini membuktikan kita berjaya bersatu hati hasil daripada usaha semua pihak,” katanya.
Bercerita mengenai perkembangan terbaharu, Fida baru sahaja melancarkan lagu zikir berjudul La Illah Ha Ilallah yang juga lagu ciptaan sepenuhnya oleh Hazmi Fahim.
Mengakui teruja dan dalam masa sama berdebar menantikan reaksi peminat sementelah sudah lama tidak merakamkan lagu baharu, dia gembira dapat merakamkan lagu zikir yang pastinya memberikan seribu satu ketenangan kepada mereka yang mendengarnya.
“Saya mahu kita semua membasahkan lidah dengan alunan zikir bila saya diberikan peluang merakamkan lagu ini. Ini peluang yang baik untuk kita sama-sama berselawat dan berzikir memuji Tuhan yang satu.
“Sebenarnya apabila saya dikurniakan cahaya mata, saya mahu memperdengarkan lagu zikir ini kepada anak. Jadi, saya berharap mana-mana ibu bapa dapat turut memperdengarkan kepada anak-anak mereka. Selain menenangkan hati, lagu ini juga memberikan pahala kepada mereka yang sama-sama berselawat,” tambahnya lagi.
Ditanya mengenai kenangan saat merakamkan La Illah Ha Ilallah memandangkan dia sarat mengandung lapan bulan, Fida berkata, walaupun sedikit keletihan, tetapi semuanya dapat dilakukan dengan baik.
“Sebenarnya lagu ini dirakamkan sebanyak dua kali selepas saya melahirkan anak. Ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan memandangkan ada masalah sebutan beberapa perkataan Arab yang ada dalam lagu ini.
“Saya sudah melakukan ulang kaji mengenai sebutan Arab ini melalui kelas mengaji secara online melalui platform TikTok. Ramai yang membantu memperbetulkan sebutan dan saya amat hargai peranan mereka ketika itu selain bimbingan daripada Ustaz Aidil yang banyak membantu,” katanya.
Untuk rekod, La Illah Ha Ilallah adalah terbitan Sheikh Qalam Records dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia dilancarkan secara rasmi pada 7 Jun lalu di semua pelantar digital. Muzik video lagu ini boleh ditonton di YouTube Sony Music Malaysia. – Hmetro Online-
IMEDIKEL TV






