Home Buletin Semasa JKNK TUTUP LAPAN PREMIS MAKANAN, BERI 108 NOTIS NILAI RM15,500

JKNK TUTUP LAPAN PREMIS MAKANAN, BERI 108 NOTIS NILAI RM15,500

151
0

Oleh: Afrizam Drawi @ MD Arif, Wartawan Imedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengambil tindakan menutup premis makanan dan mengenakan kompaun bernilai RM15,500 terhadap 108 notis dikeluarkan mengikut peraturan terutama berkait dengan kebersihan di Bachok, semalam.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin, berkata berikutan itu sebanyak 52 premis makanan diperiksa dan daripada jumlah itu lapan premis didapati tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan diarahkan tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Penguatkuasa JKNK menampal notis pada premis


“Notis kompaun diberikan kepada premis makanan di daerah Bachok berikutan melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Kompaun ini dikeluarkan pada Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 07/2023 di daerah Bachok yang dilakukan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata antara kesalahan dikenal pasti paling tinggi yang dilakukan ialah tidak mematuhi kehendak berhubung dengan pakaian pengendali makanan, dengan 88 notis dengan kompaun RM8,800 dikenakan.

Beliau berkata dengan kekuatan 74 kakitangan, pemeriksaan itu memberi keutamaan kepada premis-premis makanan yang terletak di sekitar Bandar Bachok, Jalan Melawi-Kandis, Jalan Bachok-Budi dan Jalan Bachok-Beris Kubor Besar.

Penguatkuasa JKNK memeriksa kebersihan premis

“Jika pemilik premis masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan berikutnya, arahan penutupan premis akan di buat di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka,” katanya.

Beliau berkata premis makanan yang tidak mematuhi perintah penutupan premis makanan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima (5) tahun atau denda atau kedua-duanya.

Katanya antara kesalahan lain yang dikenalpasti bagi premis makanan ialah tidak mempamerkan perakuan pendaftaran premis makanan dalam premis makanan itu, membenarkan pengendali makanan tidak menghadiri latihan pengendali atau tidak membuat pemeriksaan perubatan dan mendapatkan pemeriksaan perubatan serta vaksin bekerja di premis.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here