Home Hiburan JANJI IMPAK BUAT PEMINAT

JANJI IMPAK BUAT PEMINAT

Penyanyi Wings, Datuk Awie mengakui dia giat berlatih sembilan jam sehari bersama ketiga-tiga band iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya (kini dianggotai Lan Taro, Eddie Def Gab C dan Pae) di studio miliknya.

Ia berikutan persediaannya bagi menjayakan Konsert Triad di Zepp Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 56, berkata mereka juga menjanjikan persembahan terbaik dan bakal memberikan impak buat peminat.

“Kami sudah berlatih selama sebulan untuk konsert ini. Sudah tentulah saya yang ‘pengsan’ dan penat kerana perlu berlatih selama tiga jam untuk setiap band dan sembilan jam secara keseluruhannya.

“Saya perlu ada masa untuk berlatih bersama setiap band dan ia tugas agak berat tapi ini adalah kemahuan kami yang mahu mencipta ‘sesuatu’ untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan baru-baru ini.

Kata Awie lagi, setakat ini persiapannya sudah mencecah sebanyak 80 peratus.

Menurutnya, ia membabitkan persiapan dari segi muzik, nyanyian dan penghafalan lagu-lagu yang ada sedikit bahagian yang perlu diperbetulkan lagi.

“Saya juga memberikan fokus yang lebih terhadap lagu-lagu lama yang jarang dibawakan sebelum ini.

“Sesi latihan bersama Kid Din Search pula, mereka memang tiada masalah. Cuma saya sahaja perlu lebih fokus kerana ada juga berasa kekok menyanyikan lagu Search

“Namun, saya memang peminat Search sejak dahulu. Jadi, ada lagu yang selamba sahaja saya boleh nyanyikan,” katanya.

Dari segi stamina pula, kata Awie, dia bersyukur kerana Tuhan masih mengurniakannya kudrat untuk menjayakan konsert berkenaan.

“Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik dan saya juga melakukan senaman di Gimnasium dan treadmill di rumah.

“Saya cuma minta untuk tidak sakit dan jangan demam sahaja. Minta dijauhkanlah.

“Pada masa sama, saya melihat anggota band lain pun berada pada tahap yang terbaik. Bila seorang anggota bersemangat, semua akan jadi semangat juga untuk berikan yang terbaik,” katanya.

Malah bukan sekadar melakar sejarah dalam industri muzik, Konsert Triad turut mencipta nama dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) apabila bakal diiktiraf mengikut kategori artis pertama yang menggabungkan band dalam konsert bagi tahun ini.

Awie berkata, pencalonan MBOR itu sebagai pengiktirafan terhadap usahanya sejak berkecimpung dalam bidang seni lebih tiga dekad lalu.

“Kita buat konsert ini untuk pecah rekod. Kami mahu dapatkan sesuatu kerana apabila kita sudah meninggal dunia nanti adalah sesuatu yang disumbangkan kepada industri muzik tanah air.

“Ini yang kita hendak capai dan tunjuk bukti pengorbanan dan apa yang diperjuangkan sejak puluhan tahun lalu,” katanya.

Ditanya dari aspek penilaian pula, kata Awie, pihak MBOR akan membuat penilaian akhir ketika konsert berlangsung dan keputusan rasmi dijangka diumumkan selepas konsert selesai.

Konsert Triad menggabungkan tiga kumpulan rock dan nama besar iaitu Wings, Search KidDin dan Dragon Malaya dianjurkan Rumah Produksi Merah. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here