NEW YORK: Penganjur Terbuka Amerika Syarikat (AS) mengumumkan perubahan drastik terhadap acara beregu campuran kejohanan itu dengan memperkenalkan format baharu yang akan berlangsung secara berasingan seminggu sebelum saingan utama perseorangan lelaki dan wanita bermula.
Dalam langkah yang mencetuskan pelbagai reaksi, penganjur Terbuka AS memaklumkan kejohanan beregu campuran itu akan diadakan selama dua hari pada 19 hingga 20 Ogos di Flushing Meadows menggunakan peraturan yang diubah suai.
Format baharu ini akan menampilkan 16 pasangan – lapan daripadanya layak secara automatik berdasarkan ranking gabungan perseorangan mereka, manakala lapan lagi menerima tiket wild card.
Setiap perlawanan akan berlangsung dalam format set tiga terbaik, namun setiap set hanya dimainkan hingga empat permainan pertama dengan sistem ‘tiada advantage’, tiebreak pada kedudukan 4-4, dan tiebreak 10 mata menggantikan set ketiga.
Aksi final pula dimainkan dalam format set tiga terbaik hingga enam permainan, tetapi masih menggunakan sistem ‘tiada advantage’, tiebreak pada kedudukan 6-6 serta tiebreak 10 mata menggantikan set ketiga.
Kesemua perlawanan akan berlangsung di dua gelanggang utama, Stadium Arthur Ashe dan Louis Armstrong di Pusat Tenis Kebangsaan Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) Billie Jean King.
“Saya amat teruja untuk memperkenalkan inovasi baharu ini pada Kejohanan Terbuka AS 2025,” kata Pengarah Eksekutif Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA), Lew Sherr dalam satu kenyataan.
“Kami akan menjadikan beregu campuran sebagai acara utama di pentas utama, membolehkan lebih ramai peminat di seluruh dunia menyaksikan bintang kegemaran mereka bersaing merebut gelaran Grand Slam yang berprestij ini.
“Ini adalah Kejohanan Rasmi Beregu Campuran Terbuka AS, dan dengan memberi tumpuan khas kepada acara ini, kami ingin mengangkat status beregu campuran serta menonjolkan bakat luar biasa dalam sukan ini.”
Bagaimanapun, langkah ini dilihat sebagai strategi menarik penyertaan pemain perseorangan terkemuka dalam saingan beregu campuran – sekali gus berkemungkinan menjejaskan peluang buat pemain beregu profesional. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






