TIJUANA: Iran akan pulang ke tanah air esok selepas tersingkir secara mengecewakan pada peringkat kumpulan Piala Dunia, menurut pegawai pasukan.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Skuad Iran dijadual berlepas dari bandar Tijuana di Mexico, yang menjadi pangkalan mereka sepanjang kejohanan, pada jam 6 petang waktu tempatan (1 pagi Selasa GMT), kata pegawai medianya.
Iran menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan G dengan tiga mata hasil keputusan seri menentang New Zealand, Belgium dan Mesir.
Bagaimanapun, jumlah itu tidak mencukupi untuk melayakkan mereka ke pusingan 32 terakhir sebagai salah satu daripada lapan pasukan terbaik tempat ketiga apabila tersingkir susulan perbezaan dua gol.
Kempen Iran dibayangi sejak awal oleh perang yang berterusan membabitkan negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Mereka memindahkan kem latihan Piala Dunia dari Tucson, Arizona ke Tijuana selepas visa AS bagi 12 anggota kakitangan pasukan ditolak.
Iran tetap bermain semua perlawanan mereka di AS, namun tidak berpuas hati dengan sekatan perjalanan yang dikenakan pihak berkuasa negara itu.
Antara sekatan berkenaan mereka tidak dibenarkan memasuki AS dua hari sebelum perlawanan berlangsung.
Mereka hanya dibenarkan berbuat demikian menjelang aksi terakhir menentang Mesir, tetapi tetap perlu kembali ke Mexico sebaik sahaja perlawanan tamat.
“Ia adalah Piala Dunia yang penuh bencana. Bencana,” kata kapten Iran, Mehdi Taremi selepas keputusan seri menentang Mesir.
“Siapa yang bertanggungjawab? FIFA. Mereka sepatutnya menyelesaikan setiap masalah di sini tetapi malangnya mereka gagal sejak dari awal lagi,” katanya.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






