Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Sebanyak 149 tahanan dari pelbagai warganegara dipindahkan ke negara asal masing-masing sepanjang minggu ketiga Oktober oleh Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor semalam, daripada jumlah itu, 71 orang adalah warganegara Indonesia, diikuti 62 warga Myanmar, lima warga Korea, empat warga China, tiga warga Singapura, serta masing-masing dua warga Vietnam dan Sri Lanka.
“Kesemua tahanan berkenaan dihantar pulang melalui beberapa pintu keluar antarabangsa negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1 dan KLIA 2), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Terminal Feri Stulang Laut,”menurut kenyataan itu.
JIM Johor memaklumkan bahawa pembiayaan tiket penerbangan dan kos penghantaran pulang ditanggung sepenuhnya sama ada melalui simpanan peribadi tahanan, sumbangan ahli keluarga, atau bagi kes tertentu, ditanggung oleh kedutaan negara asal masing-masing.

“Semua tahanan yang dihantar pulang sudah disenarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini bagi tempoh yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu pemindahan tahanan adalah aktiviti utama Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas yang dijalankan secara berterusan bagi memastikan tiada lambakan tahanan yang sudah selesai menjalani hukuman terus kekal di negara ini.
“Semua urusan penghantaran pulang, termasuk pembelian tiket, boleh dilakukan terus di Kaunter Perkhidmatan Depot Imigresen Pekan Nenas tanpa sebarang caj tambahan,”menurut kenyataan.
JIM mengingatkan penggunaan orang tengah dalam urusan penghantaran pulang tahanan adalah tidak digalakkan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Unit Rekod dan Pemindahan Depot Imigresen Pekan Nenas di talian 07-6993540.
IMedikel TV






