Home Politik MARZUKI JAWAB WAN AHMAD FAYHSAL, KATA MUHYIDDIN BUAT KEPUTUSAN TEPAT SELEPAS PRU15

MARZUKI JAWAB WAN AHMAD FAYHSAL, KATA MUHYIDDIN BUAT KEPUTUSAN TEPAT SELEPAS PRU15

435
0

KUALA LUMPUR: Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan pembentukan kerajaan perpaduan bersama DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disifatkan sebagai satu langkah tepat dan selaras dengan dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Memetik laporan Berita Harian, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, berkata meskipun Presiden BERSATU itu tidak berbincang dengan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, namun keputusan itu dibuat mengikut dasar parti yang sejak awal menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP.

Katanya, sekiranya tindakan yang dilakukan oleh Muhyiddin adalah salah, sudah tentu Perikatan Nasional (PN) akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri 2023.

“Tetapi faktanya tidak. PN menang besar di empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. PN itu juga hampir menang di Selangor, iaitu negeri kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

“PN turut membuat “inroads” yang signifikan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Sebab sebahagian besar pengundi Melayu yang menyokong UMNO dalam PRU15 beralih arah menyokong PN dalam PRN 2023.

“Pengundi tidak menyukai keputusan pemimpin mereka membelakangkan dasar parti iaitu “No Anwar, No DAP” dengan membuat keputusan bekerjasama dengan DAP.

“UMNO bincang dalam Majlis Tertinggi untuk bekerjasama dengan DAP. Tetapi kesannya UMNO ditolak oleh penyokong UMNO sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin silap tolak sertai Kerajaan Perpaduan

Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Muhyiddin membuat keputusan menolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 tanpa perbincangan dengan Majlis Tertinggi (MT) PN.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, keputusan itu dibuat segera oleh Muhyiddin di hadapan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas beberapa ketua parti termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadap baginda di Istana Negara pada 22 November 2022.

Dalam pada itu, Marzuki turut menafikan keputusan itu dibuat secara bersendirian kerana pertemuan berkenaan turut dilakukan bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata melihat kepada fakta yang berlaku pada UMNO itu, penolakan cadangan membentuk kerajaan dengan DAP adalah suatu ijtihad politik yang betul.

“Mereka yang mempersoalkan keputusan ini mungkin orang yang tidak sabar hendak jadi kerajaan. Kerjasama dengan DAP pun boleh, langgar dasar parti pun boleh, asalkan jadi kerajaan,” katanya.

Bagi mereka kuasa adalah segala-galanya. Apa cara sekalipun, mesti dapatkan kuasa. Mereka adalah pengikut Machiavelli.

Dalam dunia politik hari ini, tidak salah menjadi pengikut Machiavelli. Malah ramai yang menganut ajarannya sama ada secara sedar atau tidak.

Tambahnya, ajaran Machiavelli paling berbisa ialah ‘power is virtue‘ atau kuasa adalah suci dan lambang kehormatan diri.

Betul atau salah caranya belakang kira. Sebab itu, anda akan dipersoalkan apabila anda gagal mendapatkan kuasa walaupun cara anda itu betul.

Sebaliknya, anda akan disanjung apabila berjaya mendapatkan kuasa walaupun cara anda itu salah.

Itulah yang berlaku dalam kalangan segilintir orang BERSATU, tambahnya.

“Presiden dipersoal walaupun yang dibuat itu betul. Kenapa? Sebab Presiden bukan Perdana Menteri dan parti bukan parti kerajaan.

“Kalau Presiden adalah Perdana Menteri, jangankan kutip akaun bersumpah (SD), mereka akan beratur dari Tambak Johor hinggalah ke pintu pagar Perdana Putra untuk cium tangan Presiden,” katanya.

Presiden perlu direhatkan

Marzuki berkata, ada juga yang memaklumkan Presiden mesti direhatkan kerana kononnya itu adalah syarat yang dikenakan oleh parti yang berada dalam kerajaan sekarang untuk BERSATU diterima membentuk kerajaan bersama mereka.

“Entah ya, entah tidak. Mereka berkehendakkan kuasa dan ia mesti berlaku sekarang. Buatlah apa cara sekali pun asalkan dapat kuasa.

“Tetapi segelintir orang ini mungkin tidak menyedari akan perubahan landskap politik pilihan raya yang sedang melanda negara kita secara konsisten.

“Sejak hampir dua dekad lalu, menjadi kerajaan tidak menjamin kelebihan dalam pilihan raya. Kerajaan yang ada hari ini pun tidak popular. Berkemungkinan boleh kalah dalam pilihan raya. Jadi, janganlah gelojoh sangat,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here