ADDIS ABABA: Sekurang-kurangnya 14 orang maut dan 29 lagi cedera dalam nahas kereta api di timur Ethiopia, lapor media tempatan semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, insiden tragis itu berlaku sekitar jam 2 pagi waktu tempatan ketika kereta api penumpang berkenaan dalam perjalanan sejauh 200 kilometer (km) dari bandar Dewele, berhampiran sempadan Djibouti, menuju ke Dire Dawa.
Pegawai tempatan yang dipetik oleh media tempatan mengesahkan kejadian terbabit.
“Satu kemalangan yang berlaku di laluan Dire Dawa-Dewele telah meragut 14 nyawa dan menyebabkan kecederaan serius serta ringan ke atas 29 orang yang lain,” lapor stesen televisyen tempatan, Dire TV, melalui hantaran di Facebook, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai punca nahas.
Foto-foto yang disiarkan oleh media itu menunjukkan beberapa gerabak kereta api terbalik dan sebahagian lagi hancur akibat kemalangan itu.
Kemalangan kereta api jarang dilaporkan berlaku di Ethiopia, negara kedua paling ramai penduduk di Afrika dengan kira-kira 130 juta orang.
Nahas kereta api terburuk pernah direkodkan di negara itu berlaku sejak tahun 1985, apabila lebih 400 orang terbunuh dan 500 cedera selepas sebuah kereta api yang dalam perjalanan dari Djibouti ke ibu negara Ethiopia, Addis Ababa, terhumban ke dalam gaung. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






