KUALA LUMPUR: Kecoh di laman sosial apabila timbul desas-desus mendakwa pelakon terkenal, Uqasha Senrose, sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, difahamkan dijangka hadir ke mahkamah pagi ni bagi prosiding sebutan kali pertama berhubung permohonan cerai berkenaan.
Dikhabarkan rumah tangga pasangan selebriti itu dikatakan mula bergolak sejak April lalu, namun permasalahan yang timbul bukan disebabkan kehadiran pihak ketiga.
Pasangan itu juga didakwa kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Uqasha dilaporkan menetap bersama ibunya sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, pelakon filem Bisikan Dosa itu beberapa kali mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat selepas memuat naik hantaran berunsur luahan hati di media sosialnya.
Sementara itu, beberapa hari lalu, Kamal melalui hantaran di Instagram (IG) menjawab spekulasi mengenai rumah tangga sambil menjelaskan hubungan dengan Uqasha baik dan cukup menyayangi cahaya mata mereka, Hawra Uqaira.
Melalui hantaran yang sama, Kamal turut menjawab spekulasi mengenai rumah tangga mereka termasuk konon tidak bekerja.
“Saya terpanggil untuk membetulkan beberapa kenyataan netizen yang membabitkan maruah saya, isteri dan keluarga kami.
“Pertama, ada segelintir netizen buat andaian saya tiada masa untuk anak sendiri… Tidak baik. Banyak sahaja masa saya luangkan untuk Hawra, bawa bercuti dan sebagainya.
“Saya adalah seorang ayah. Saya sangat sayangkan anak saya. Mustahil saya tak fikir pasal Hawra,” katanya dalam entri itu.
Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, 15 bulan. BH Online –
IMedikel TV






