Home Sukan HONDURAS BUKAN LAWAN ARGENTINA

HONDURAS BUKAN LAWAN ARGENTINA

17
0

AMERIKA SYARIKAT: Argentina mencatat kemenangan mudah 2-0 ke atas Honduras dalam aksi pemanas badan kedua terakhir juara bertahan itu menjelang Piala Dunia di Texas, hari ini.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Lautaro Martinez dan Giuliano Simeone menjaringkan gol dalam perlawanan yang dikuasai Argentina di College Station.

Lionel Messi berada di bangku simpanan tetapi tidak diturunkan oleh jurulatih Lionel Scaloni yang masih berhati-hati mengembalikan kecergasan bintang itu menjelang aksi peringkat kumpulan Piala Dunia selepas mengalami kecederaan hamstring pada 24 Mei lalu.

Perlawanan yang agak perlahan mula rancak pada minit ke-37 apabila Nicolas Tagliafico dikasari dalam kotak penalti oleh Cristopher Melendez sebelum penyerang Inter Milan, Martinez menyempurnakan sepakan penalti ke penjuru kiri untuk meletakkan Argentina di depan.

Martinez yang tampil cemerlang kemudian menjadi pencetus gol kedua Argentina pada minit ke-54 apabila hantaran tumitnya membuka ruang buat pemain Atletico Madrid, Simeone melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Honduras, Edrick Menjivar.

Antara peluang menarik lain menyaksikan Giovani Lo Celso hampir menambah jaringan menerusi rembatan lencong dari luar kotak penalti yang terkena palang pada babak pertama. 

Tomas Aranda turut menguji Menjivar pada babak kedua, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Honduras itu.

Honduras hampir tidak melepasi garisan tengah padang pada separuh masa kedua ketika Argentina terus menguasai permainan.

Argentina akan menentang Iceland dalam aksi persahabatan terakhir di Auburn, Alabama pada Selasa ini sebelum juara dunia tiga kali itu memulakan kempen Piala Dunia menentang Algeria pada 17 Jun di Kansas City.

Scaloni sebelum ini memberi bayangan Messi mungkin diturunkan dalam salah satu perlawanan persahabatan, sekali gus membuka peluang buat kapten Argentina itu beraksi menentang Iceland. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here