Home Buletin Semasa “ALLAH KABULKAN DOA KAMI” – ANAK JASLINDA LUAH SYUKUR IBU DITEMUI SELAMAT...

“ALLAH KABULKAN DOA KAMI” – ANAK JASLINDA LUAH SYUKUR IBU DITEMUI SELAMAT SELEPAS 14 HARI HILANG

18
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TAPAH: Anak kepada pendaki yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu meluahkan rasa syukur apabila ibunya, Jaslinda Saludin, 49, ditemukan selamat selepas 14 hari berada di kawasan hutan.

Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads menggunakan akaun deefzl._, dia menyifatkan penemuan ibunya pada petang semalam sebagai satu rahmat dan bukti kebesaran Allah SWT selepas keluarga serta pelbagai pihak tidak putus-putus berdoa sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Menurutnya, pada pagi hari ibunya ditemukan, dia bersama ayah dan kakak sulung merancang untuk ke kaki gunung bagi menunaikan solat hajat serta mengadakan bacaan Yasin.

“Allah Maha Besar, tiada yang mustahil bagi kuasa-Nya. Alhamdulillah, ibu kami, Jaslinda Saludin telah selamat dijumpai pada 6 Jun 2026.

“Pagi itu saya, ayah dan kakak sulung berhasrat untuk ke kaki gunung bagi membuat solat hajat dan bacaan Yasin. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan ketika itu, kami benar-benar berserah sepenuhnya kepada-Nya,” katanya.

Katanya, pada petang hari yang sama, doa seluruh keluarga dan rakyat Malaysia akhirnya dimakbulkan apabila ibunya berjaya ditemukan dalam keadaan selamat.

Dalam hantaran itu, dia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan keselamatan ibunya sepanjang tempoh kehilangan tersebut.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang mendoakan ibu saya. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan membantu dalam apa jua cara.

“Hanya Allah SWT yang dapat membalas segala jasa baik kalian,” katanya.

Dia turut mengucapkan penghargaan kepada pasukan Orang Asli, anggota SAR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Malim Gunung Perhutanan (MGP), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pejabat Daerah serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha pencarian mangsa.

Menurutnya, Jaslinda kini sedang menerima rawatan di hospital dan memerlukan masa untuk berehat sebelum berkongsi pengalaman yang dilaluinya sepanjang tempoh berada di dalam hutan.

“Ibu saya perlu mendapatkan rawatan di hospital untuk beberapa hari. Buat masa sekarang, kami berharap orang ramai dapat memberi ruang kepada Puan Jaslinda untuk berehat.

“Ibu juga sangat berterima kasih kepada semua,” katanya. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here