GUA MUSANG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Gua Musang mendesak supaya kerusi Parlimen Gua Musang dikembalikan kepada calon PAS pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Gua Musang, Amiruddin Ismail, berkata tuntutan itu dibuat kerana kecewa terhadap tindakan penyandang kerusi terbabit yang beralih menyokong Kerajaan Perpaduan.
Katanya, usul supaya kerusi Parlimen Gua Musang dikembalikan kepada calon PAS pada PRU16 sudah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-41 pada 21 Mei lalu.
“Sudah pasti kami sangat kecewa apabila penyandang kerusi Parlimen Gua Musang sudah memilih untuk menyokong Kerajaan Perpaduan selepas dipilih dengan mandat rakyat yang mengundi atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Bagi Pemuda PAS Gua Musang, tindakan terbabit menimbulkan persoalan mengenai amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi.
“Justeru, pengembalian kerusi Parlimen Gua Musang kepada PAS dilihat sebagai langkah penting bagi memulihkan semangat jentera parti, memperkukuhkan keyakinan penyokong.
“Ini dapat memastikan kesinambungan perjuangan yang lebih konsisten di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, hari ini.
Pada PRU15 lalu, Tengku Razaleigh Hamzah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 apabila beliau tewas mengejut kepada calon PAS-Bersatu Mohd Azizi Abu Naim.
Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh yang mewakili Barisan Nasional (BN), mendapat 21,663 undi.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gua Musang Ab Pattah Hasbullah. – BH Online –
IMedikel TV






