Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Seramai 78 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu dikenali sebagai ‘Ops Sapu’ yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sekitar Jalan Klang Lama, semalam.
Operasi itu dilancarkan susulan aduan awam dan maklumat risikan berterusan berhubung lambakan warga asing di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi JIM, majoriti individu yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram.
“Dalam operasi berkenaan, pasukan penguat kuasa JIM WPKL melakukan kepungan di beberapa premis perniagaan dan kawasan penempatan yang dikenal pasti bagi menghalang sebarang cubaan melarikan diri.
“Pemeriksaan dokumen dan semakan biometrik turut dijalankan terhadap setiap Orang Kena Periksa (OKA) di lokasi operasi,”menurut kenyataan itu.
Menurut JIM, terdapat beberapa cubaan dalam kalangan warga asing untuk bersembunyi di ruang sempit bagi mengelakkan ditahan, namun usaha itu berjaya dipatahkan oleh anggota penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, seramai 78 individu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan diklasifikasikan sebagai Orang Kena Tangkap (OKT),” menurut kenyataan itu.
Tahanan yang ditangkap terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar dan India.
Kesemua mereka telah dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM WPKL menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan tanpa kompromi bagi membanteras kebanjiran PATI di negara ini.
Pada masa sama, amaran keras turut diberikan kepada mana-mana individu atau majikan yang didapati melindungi serta menggaji PATI kerana tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mereka.
IMedikel TV






