Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Prihatin terhadap keperluan pendidikan golongan asnaf, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan sumbangan kepada seorang remaja yang akan mendaftar pengajian di Kolej Matrikulasi Kelantan esok.
Kisah Muhammad Amirul Ramli, 18, dari Jalan Gajah Mati di sini, sebelum itu berdepan kesukaran menyediakan wang pendaftaran akibat kekangan kewangan keluarga.
MAIK dalam menerusi hantaran di laman rasmi berkata anak kedua daripada tiga beradik itu hampir menolak tawaran berkenaan kerana keluarganya tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menampung kos pendaftaran.
“Kesulitan yang dihadapi keluarga berkenaan kemudian sampai ke pengetahuan MAIK yang bertindak segera menyalurkan bantuan hasil sumbangan para pembayar zakat bagi memastikan beliau tidak tercicir daripada meneruskan pendidikan.
“Kami mahu adik Amirul berjaya dalam pelajarannya. Oleh itu, hasil sumbangan para pembayar zakat, MAIK menyalurkan bantuan sebanyak RM1,000 bagi membolehkan beliau menguruskan pendaftaran pengajian di sebuah Kolej Matrikulasi di negeri ini.
“Lebih melegakan, MAIK turut membantu menyelesaikan tunggakan sewa rumah keluarga tersebut yang berjumlah RM500 selepas gagal dijelaskan selama dua bulan,”menurut kenyataan itu.
Menurut MAIK kos sewaan bulanan rumah mereka sebanyak RM250 juga akan ditanggung oleh MAIK bagi meringankan beban kewangan keluarga berkenaan.
Selain itu, ibunya, yang juga ibu tunggal kepada tiga anak, Rohani Cheka, 58, turut menerima Bantuan Am berjumlah RM1,600 bagi menampung keperluan harian keluarga.
Rohani melahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan MAIK serta semua pihak yang tampil membantu keluarganya.
Katanya, bantuan tersebut bukan sahaja membolehkan anaknya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, malah memberi kelegaan kepada keluarganya yang sebelum ini dibelenggu masalah kewangan.
“Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang terbaik dan memberkati pihak MAIK serta semua yang bersimpati dan membantu kami,” katanya.
Bantuan itu disampaikan menerusi program turun padang oleh pengurusan MAIK di kediaman keluarga terbabit di sini.
IMedikel TV






