Home Buletin Semasa HAFIZ 30 JUZUK, RAIH 9A SPM 2025: IRHAM BUKTI DISIPLIN DAN RESTU...

HAFIZ 30 JUZUK, RAIH 9A SPM 2025: IRHAM BUKTI DISIPLIN DAN RESTU IBU BAPA KUNCI KEJAYAAN

16
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Ketika ramai remaja seusianya menghabiskan masa lapang dengan pelbagai aktiviti, Muhammad Irham Zulkefli Abdul Rahman, 18, pula memilih untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.

Hasil disiplin yang tinggi, anak sulung daripada empat beradik itu bukan sahaja berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia muda, malah turut mencatat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Kota Putra, Besut, Terengganu itu berkata, kejayaan yang diraih bukanlah sesuatu yang datang bergolek, sebaliknya menuntut pengorbanan masa, kesungguhan dan pengurusan diri yang baik sepanjang tempoh persekolahan.

“Ketika waktu hafazan, saya akan fokus sepenuhnya dan cuba mengelakkan perkara yang tidak berfaedah. Saya sentiasa berusaha menambah hafazan sedikit demi sedikit setiap hari,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di sini, baru-baru ini.

Menurut anak kelahiran Pasir Mas itu, proses menghafaz al-Quran memerlukan kesabaran dan kaedah yang sesuai dengan kemampuan individu.

Katanya, beliau hanya berjaya menghafaz enam juzuk ketika di Tingkatan Satu kerana masih menyesuaikan diri dengan sistem hafazan, namun prestasinya meningkat dengan ketara pada tahun-tahun berikutnya sehingga berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk di Tingkatan Empat.

“Semuanya bergantung kepada cara berfikir. Ada yang terus mengalah apabila sukar menghafaz. Bagi saya, kita perlu mencari cara yang sesuai dengan diri sendiri supaya dapat menyesuaikan diri dan berjaya,” katanya.

Selain cemerlang dalam akademik dan hafazan, Muhammad Irham Zulkefli turut aktif dalam bidang kokurikulum.

Beliau pernah mewakili sekolah dalam kejohanan bola sepak peringkat daerah, meraih tempat kedua dalam pertandingan robotik MRSM Malaysia serta muncul naib johan pertandingan berunsurkan Islam peringkat negeri Terengganu.

Di sebalik kejayaan yang diraih, Muhammad Irham Zulkefli mengakui pernah berdepan tekanan dan keletihan sepanjang menuntut ilmu.

Namun, setiap kali berasa tertekan, beliau memilih untuk beriadah atau meluangkan masa bersama rakan-rakan bagi mengembalikan semangat dan motivasi.

Anak kepada pasangan guru tahfiz, Zulkefli Syafie, 55, dan Nik Hazmawati Ghani, 48, itu turut mengakui restu ibu bapa menjadi antara faktor terbesar kejayaannya hari ini.

“Saya reda dan mengikut nasihat ibu bapa. Alhamdulillah, di situlah saya berjaya menghafaz al-Quran dan memperoleh banyak pengalaman berharga,” katanya.

Walaupun tinggal berjauhan, Irham berkata beliau sentiasa menghubungi ibu bapanya setiap malam bagi bertanya khabar dan memastikan hubungan kekeluargaan terus erat.

“Selain hubungan yang baik dengan ibu bapa, saya juga memilih rakan yang positif serta menjaga solat berjemaah bagi memperoleh keberkatan dalam kehidupan dan pembelajaran,”katanya.

Selepas mencipta kecemerlangan dalam SPM, Muhammad Irham Zulkefli kini bakal melanjutkan pengajian dalam program Asasi Sains Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Anak muda itu memasang cita-cita untuk menjadi pakar bedah ortopedik dan berharap dapat berbakti kepada masyarakat suatu hari nanti.

“Saya percaya jika kita pandai mengurus masa, menjaga hubungan dengan ibu bapa dan bersungguh-sungguh dalam usaha, insya-Allah kejayaan akan datang dengan penuh keberkatan,” katanya.

Kejayaan Muhammad Irham Zulkefli turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Pengasas Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin yang tampil mengulurkan bantuan bagi meringankan persiapan untuk melanjutkan pengajian.

“Pihak kami menyerahkan sebuah komputer riba hasil sumbangan orang ramai.

“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu memudahkan urusan pembelajarannyan dan menjadi pemangkin untuk terus mengejar cita-cita menjadi seorang doktor,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here