Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TAPAH: Penemuan beberapa nota yang ditinggalkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Kem Air Busuk menjadi satu lagi dapatan penting hasil perbualan bersama Jaslinda Saludin selepas beliau ditemui selamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, menurut maklumat yang diperoleh, nota-nota tersebut ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP), Hafis, pada 30 Mei lalu ketika operasi pencarian dijalankan dari Pos Musoh menuju ke Kem Air Busuk.
“Antara kandungan nota yang ditinggalkan ialah mesej berbunyi, “Kak Jas, please stay satu tempat. Orang ramai mencari akak.”
“Selain itu, terdapat juga nota yang menunjukkan arah menuju ke Kem Air Busuk bagi membantu mangsa sekiranya melalui kawasan berkenaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata Jaslinda memaklumkan beliau hanya tiba di kawasan tersebut pada 5 Jun lalu dan telah membawa keluar nota-nota berkenaan sebelum menyerahkannya kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas ditemui selamat.
Katanya penemuan itu secara tidak langsung mengesahkan bahawa Jaslinda berada di sekitar kawasan pencarian yang telah difokuskan oleh pasukan SAR sepanjang operasi dijalankan.
“Malah, ia turut membuktikan usaha pencarian yang dilaksanakan berada di landasan yang tepat.
“Terima kasih kepada semua anggota dan agensi yang terlibat yang tidak pernah berputus asa sepanjang operasi mencari dan menyelamat dijalankan,”katanya.
IMedikel TV






