MANILA: Amaran tsunami dikeluarkan selepas gempa bumi magnitud 7.8 melanda Mindanao di selatan Filipina pada Isnin, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ).
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, gempa bumi itu pada kedalaman 10 kilometer (km), kata GFZ. Agensi geofizik Filipina dan negara jiran Indonesia mengeluarkan amaran tsunami. Tiada laporan segera mengenai kerosakan besar di kedua-dua negara.
GFZ sebelum ini menganggarkan kekuatan gempa bumi itu pada magnitud 8.2. Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tsunami susulan gempa bumi itu.
Phivolcs, agensi sama di Filipina berkata, gempa bumi itu bermagnitud 7.0 dan memberi amaran tentang kerosakan dan gelombang tsunami melebihi satu meter, yang boleh berterusan selama beberapa jam.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) Indonesia melaporkan gempa itu pada magnitud 7.7.
Benjie Ancheta, ketua polis bandar Alabel di Sarangani di Filipina berkata, bangunan polis itu mengalami beberapa retakan sejurus selepas gempa bumi itu, yang berlaku semasa upacara menaikkan bendera.
Ancheta berkata, tiada laporan segera tentang korban jiwa, tetapi beberapa orang pengsan susulan gegaran kuat itu.
“Ini adalah gempa bumi terkuat yang pernah kami alami,” kata Ancheta kepada Reuters melalui telefon.
Saksi di bandar Manado, di utara Indonesia, berkata, gempa bumi itu terasa sangat kuat.
Filipina dan Indonesia terletak dalam “Lingkaran Api Pasifik”, iaitu jalur seismik yang terbentang dari Amerika Selatan hingga ke Timur Jauh Rusia.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






