ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata Washington akan memastikan uranium diperkaya milik Iran dimusnahkan tanpa mengira sama ada perjanjian diplomatik dicapai ataupun tidak, lapor Anadolu Ajansi memetik NBC News.
“Kami akan mengeluar dan memusnahkannya, sama ada di tapak berkenaan atau selepas dipindahkan keluar dari tapak itu,” kata Trump kepada NBC News dalam satu temu bual disiarkan, semalam.
Memetik laporan Bernama-Anadolu menerusi Berita Harian, katanya, AS akan bertindak ‘dengan mereka atau tanpa mereka.’
Beliau berkata, AS akan mengeluarkan uranium diperkaya Iran itu ‘melalui tindakan ketenteraan dengan amat tegas’ jika tiada perjanjian dicapai.
“Kita tidak akan berdepan serangan sekiranya kedua-dua pihak bergerak sehaluan,” katanya.
Trump berkata, teknologi pasukan Angkatan Tentera Angkasa kini memantau kira-kira 453.6 kilogram uranium diperkaya yang didakwa terperangkap bawah runtuhan tapak yang sebelum ini menjadi sasaran serangan.
Mengenai rundingan damai yang sedang berlangsung pula, Trump mendakwa bahawa kedua-dua pihak ‘sangat hampir’ mencapai satu perjanjian.
Namun, katanya, beliau menuntut satu klausa tambahan bagi menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear melalui apa jua cara.
Beliau menegaskan perjanjian itu mesti menetapkan Iran tidak boleh ‘membeli atau memperoleh’ aset nuklear daripada sumber lain, namun mendakwa bahawa Tehran ‘sedikit membantah’ tuntutan berkenaan.-Bernama-Anadolu, HMetro Online-
IMedikel TV






