LONDON: Son Heung Min mengecam Tottenham kerana kurang fokus selepas kekalahan “memeritkan” 2-1 di tangan kelab bawahan Leicester meningkatkan tekanan buat bos Ange Postecoglou.
Pasukan kendalian Postecoglou mensia-siakan pendahuluan susulan gol babak pertama Richarlison apabila Jamie Vardy menyamakan kedudukan sebelum Bilal El Khannous meledak gol kemenangan Leicester di London utara.
Tottenham terdampar di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya lapan mata di atas zon penyingkiran, selepas kekalahan keenam dalam tujuh aksi terakhir liga utama.
Keputusan Postecoglou untuk mengeluarkan Richarlison diejek oleh penyokong yang berang, yang turut meminta pengerusi Tottenham, Daniel Levy meletakkan jawatan ketika suasana semakin menjadi toksik.
Sama ada Postecoglou boleh bertahan lebih lama dalam musim yang hambar tidak diketahui, tetapi warga Australia itu tidak dibantu oleh penilaian daripada penyerang Korea Selatan, Heung Min.
“Ia amat memeritkan. Terutamanya apabila anda mendahului ketika rehat dan melepaskan dua gol dalam tempoh yang singkat. Ia mengecewakan kami dan ia satu petang yang mendukacitakan,” kata kapten Tottenham itu.
“Kami tidak boleh hanya menyatakan keletihan kerana kami perlu keluar bagi babak kedua. Mungkin ia persembahan yang terlalu buruk.
“Ia hanya kerana kurang tumpuan dan kurang berhati-hati… dalam EPL mana-mana pasukan boleh menghukum kami.
“Ia tidak cukup bagus dan kadang-kadang kami membuat keputusan yang silap pada babak akhir. Ia amat mengecewakan tidak meraih tiga mata dan melepaskan gol sebegini.”
Prospek Tottenham turun ke divisyen kedua tidak boleh diterima sama sekali peminat yang menyaksikan kelab mereka bermain di tahap itu pada 1977-78. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






