SUBANG JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berharap pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional.
Menurut Hannah memetic Harian Metro realiti dunia sukan profesional memerlukan perancangan rapi terutama dari segi tajaan dan dana, justeru kekal bersama badan induk adalah pilihan paling selamat buat masa ini.
“Mereka perlukan masa untuk berfikir secara mendalam. Tidak semudah itu untuk keluar dan terus mendapat penaja.
“Tajaan sangat bergantung pada ranking dan kejuaraan yang dimenangi. Ada musim baik dan musim suram, sebab itu lebih selamat untuk kekal bersama persatuan kerana persatuan akan bekalkan semua sumber,” katanya ketika ditemui selepas Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024.
Isu masa depan Pearly-Thinaah menjadi tumpuan selepas mereka dikatakan meminta bayaran setaraf penerima tertinggi BAM – dilaporkan sekitar RM2 juta setahun – selepas mencipta sejarah mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024, satu pencapaian terbaik dalam sejarah badminton wanita Malaysia.
“Mereka antara harapan besar negara. Saya harap mereka fikir betul-betul sebelum buat keputusan,” ujar Hannah.
Sementara itu, Lee Zii Jia, yang sudah meninggalkan BAM untuk bergerak secara profesional, mengambil pendekatan berkecuali dan enggan mengulas lanjut.
“Saya bukan berada dalam kedudukan untuk bercakap bagi pihak mereka. Saya tidak tahu apa yang mereka lalui sepanjang kerjaya,” kata Zii Jia ringkas.
Dalam masa sama, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata pihaknya akan meneliti isu ini secara dalaman dan belum membuat sebarang keputusan rasmi.
“Saya tiada komen buat masa ini kerana belum dengar apa-apa secara rasmi, hanya melalui media.
“Seperti yang disebut Timbalan Presiden 1, Datuk V Subramaniam, kita akan adakan perbincangan dalam masa terdekat. Jadi, kita tunggu dulu,” katanya.
Sabtu lalu BAM mengesahkan bakal mengadakan satu pertemuan terakhir bersama Pearly Tan-Thinaah, bagi menyelesaikan kemelut kontrak yang masih menemui tiada titik noktah.
Subramaniam menegaskan bahawa badan induk itu sudah mengemukakan tawaran kepada pasangan ranking keempat dunia itu, namun mereka masih belum menandatangani kontrak berkenaan. – HMetro Online –
IMedikel TV






