LOS ANGELES: Haiti terpaksa menukar reka bentuk jersi mereka hanya beberapa hari sebelum aksi pembukaan Piala Dunia menentang Scotland selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) melarang paparan adegan peperangan pada jersi berkenaan.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Ilustrasi Perang Vertieres pada 1803 yang membawa kepada kemerdekaan Haiti, bersama bendera negara itu disematkan di jersi yang dipakai pemain dalam dua perlawanan pemanas badan di Florida.
Pengeluar dari Colombia, Saeta berkata semalam mereka sudah mengubah suai jersi berkenaan bagi mematuhi peraturan FIFA.
“Reka bentuk akhir yang dikemukakan oleh Saeta bertujuan menghargai lelaki dan wanita yang menyumbang setiap hari kepada masa depan Haiti dan bukan bertujuan membuat kenyataan politik.
“Dalam proses semakan, FIFA memutuskan beberapa elemen visual boleh ditafsirkan secara berbeza mengikut peraturan peralatan mereka dan akhirnya meminta pengubahsuaian dibuat pada reka bentuk itu.
“Walaupun tafsiran itu berbeza daripada niat kami, Saeta menghormati proses berkenaan dan melaksanakan keperluan akhir yang dimaklumkan FIFA,” kata Saeta dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram.
Haiti memulakan kempen Piala Dunia pertama mereka dalam tempoh 52 tahun menentang Scotland di Boston pada Ahad ini.
Pasukan Caribbean yang menghuni ranking ke-83 dunia itu kemudian akan berdepan juara lima kali, Brazil serta juara Afrika, Maghribi dalam Kumpulan C.
Kejayaan Haiti pada pusingan kelayakan menjadi antara kisah paling mencetus inspirasi pada kejohanan kali ini.
Walaupun berdepan kekacauan domestik, dengan negara miskin itu bergelut dengan keganasan kumpulan bersenjata sehingga tidak dapat mengadakan aksi kelayakan di laman sendiri, mereka tetap berjaya layak ke Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah.
“Kami tahu ramai mungkin mempunyai gambaran buruk mengenai negara kami dan pelbagai masalah yang dihadapi, tetapi ini akan memberi manfaat besar kepada negara, rakyat dan keluarga saya,” kata pemain tengah Haiti, Jean-Ricner Bellegarde.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






