LOS ANGELES: Skuad Amerika Syarikat (AS) bakal berdepan tekanan hebat untuk membuka tirai kempen Piala Dunia dengan langkah kanan apabila turun menentang pasukan bukan pilihan, Paraguay pada Sabtu ini.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, kegagalan meraih kemenangan dalam aksi itu pastinya akan mencetuskan kebimbangan awal mengenai nasib serta hala tuju kempen skuad tuan rumah bersama berkenaan.
Berada di kedudukan ke-17 dunia, AS adalah pasukan diletakkan pada ranking tertinggi dalam Kumpulan D, manakala Paraguay pula berada di kedudukan ke-41 daripada keseluruhan 48 pasukan bertanding, sekali gus menjadi pasukan di ranking terendah dalam kumpulan yang turut dihuni Australia dan Turkiye.
Bagaimanapun, AS memiliki kelebihan rekod bersih menerusi tiga kemenangan berturut-turut ke atas wakil Amerika Selatan itu sebelum ini, termasuk kemenangan 2-1 dalam aksi persahabatan pada November lalu, selain pernah menewaskan lawan sama pada edisi sulung Piala Dunia 1930.
Stadium Los Angeles di Inglewood dijangka akan bergema dengan sorakan padu penyokong tegar sebaik kedua-dua pasukan turun ke padang, dengan skuad tuan rumah pastinya mahu meredakan rasa gemuruh menerusi gol awal hasil ledakan jentera serangan berbisa diketuai Weston McKennie, Christian Pulisic, dan Folarin Balogun.
Namun, benteng pertahanan kekal menjadi titik kelemahan utama, sekali gus bakal mendesak penjaga gol yang kurang pengalaman, Matt Freese untuk bekerja lebih keras memandangkan skuad AS merekodkan pencapaian kebal tanpa bolos hanya sekali dalam 13 perlawanan terakhir, serta melepaskan 11 gol dalam empat aksi terdahulu.
Selaku tuan rumah bersama, AS mendapat tiket automatik tanpa perlu mengharungi aksi kelayakan, berbeza dengan Paraguay yang terpaksa berhempas-pulas melepasi saingan sengit zon CONMEBOL sebelum menamatkan saingan di kedudukan terakhir daripada enam slot automatik Amerika Selatan.
Kejohanan kali ini menyaksikan skuad bergelar ‘La Albirroja’ itu kembali membuat kemunculan semula di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak terkandas di peringkat suku akhir kepada pasukan yang akhirnya muncul juara, Sepanyol pada edisi 2010.
Paraguay secara asasnya memiliki corak permainan yang berbeza berbanding AS apabila bersandarkan barisan pertahanan fizikal yang akan cuba mengekang asakan tuan rumah, biarpun jentera serangan mereka agak tumpul dengan hanya meledak 14 gol daripada 18 perlawanan sepanjang kempen kelayakan.
Malah, ujian getir menanti Paraguay apabila mereka terpaksa turun tanpa peledak utama, Julio Enciso yang disahkan terlepas aksi pembukaan itu akibat kecederaan paha.
Sandaran kini diletakkan di bahu pemain tengah, Diego Gomez untuk mengatur gerakan dan mencipta peluang serta melepaskan rembatan deras jarak jauh, selain mengharapkan tonggak berusia 23 tahun itu sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialami pada April lalu.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






