BIARPUN jalan raya di sekitar Unifi Arena, Bukit Jalil mula ‘lumpuh’ seawal jam 5 petang, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat ribuan Baladewa dan Baladewi untuk hadir ke konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia, sekali gus membuktikan cinta peminat tanah air terhadap kumpulan legenda ini tidak pernah luntur.
Memetik laporan Harian Metro, peminat sanggup berjalan lebih dua kilometer atau sekitar 30 minit berjalan dari kawasan tempat letak kereta yang jauh semata-mata tidak mahu terlepas peluang menyaksikan kumpulan legenda itu beraksi atas pentas.
Di bawah simbahan lampu Unifi Arena, Bukit Jalil pada 6 Jun lalu, kumpulan rock gergasi Indonesia, Dewa 19 sekali lagi membuktikan bahawa empayar muzik mereka bukan sekadar nostalgia, malah satu magis yang terus berhantu merentas zaman dan generasi.
Tepat jam 8.30 malam, atmosfera di Unifi Arena bertukar gempita apabila kumpulan Padi Reborn muncul sebagai pembuka tirai, memanaskan pentas dengan deretan lagu hit seperti Sang Penghibur, Menanti Sebuah Jawaban, Patah dan Semua Tak Sama.
Tidak ketinggalan, naskhah ikonik seperti Ego, Begitu Indah serta Hitam turut dilaungkan bersama ribuan penonton.
Menariknya, vokalisnya, Fadly sempat menyanyikan sebuah lagu yang didedikasi khas buat Gen (generasi) Z menerusi lagu Sahabat Selamanya iaitu sebuah lagu runut bunyi animasi popular Upin & Ipin yang cukup dekat di hati peminat.
Bahang kian membara, menguji kesabaran ribuan peminat yang tidak sabar menantikan kemunculan Dewa 19.
Tepat jam 9.50 malam, histeria peminat akhirnya meletus apabila sorakan gemuruh memecah sunyi sebaik sahaja kumpulan itu memunculkan diri atas pentas.
Tanpa membuang masa, Dewa 19 terus membakar semangat malam itu apabila membuka tirai konsert dengan lagu yang cukup ikonik iaitu Cinta Gila.-HMetro Online-
IMedikel TV






