Home Luar Negara GERABAK HANCUR, DERETAN MAYAT PAPAR NAHAS NGERI KERETA API DI INDIA

GERABAK HANCUR, DERETAN MAYAT PAPAR NAHAS NGERI KERETA API DI INDIA

133
0

BALASORE: Gerabak bertindih di atas satu sama lain dan deretan mayat dikumpul pekerja penyelamat ketika fajar menyingsing hari ini, memaparkan kengerian dalam nahas kereta api paling maut di India.

Kemalangan membabitkan dua kereta api penumpang dan sebuah kereta api membawa barangan itu, menyaksikan satu kereta api penumpang merempuh sebuah lagi dengan kuat sehingga gerabaknya terangkat tinggi ke udara, berpusing dan kemudian melanggar landasan.

Sebuah lagi gerabak tercampak sepenuhnya ke atas bumbung, memusnahkan bahagian tempat duduk penumpang.

Di atas tanah, bangku dalam gerabak dihempap menjadi serpihan logam, selain barangan penumpang seperti beg pakaian, kasut kanak-kanak dan timbunan pakaian.

Sekurang-kurangnya 288 terbunuh dan lebih 850 cedera dalam nahas pada malam tadi berhampiran Balasore, di negeri timur Odisha, kata pegawai, dengan jumlah kematian dikhuatiri akan meningkat.

Sepanjang malam, imej yang disiarkan di stesen televisyen tempatan menunjukkan deretan panjang mayat dengan kain putih menutupi sebahagiannya, ketika pekerja penyelamat membawa mayat itu dengan pengusung.

Pasukan penyelamat menggunakan alat pemotong logam bagi membuka jurang di bahagian tepi gerabak yang hancur untuk mencapai kepada mangsa yang terperangkap, menarik mayat dan mereka yang terselamat.

Pasukan penyelamat, yang berpakaian berwarna jingga dan memakai topeng muka, termasuk pegawai dari Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India, membawa mereka yang berjaya dibawa keluar untuk mendapatkan bantuan.

Sepanjang malam, angka kematian melonjak berulang kali, apabila perkhidmatan kecemasan merekodkan pertambahan jumlah mayat yang dikumpul, daripada 50, kepada lebih 100 dan sehingga hampir 300.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Bomba Odisha, Sudhanshu Sarangi memberitahu AFP, terdapat kecederaan serius dalam kalangan mangsa.

Bunyi siren ambulans bergema secara berterusan, membawa mangsa yang ditarik keluar ke hospital.

Jumlah mangsa cedera yang begitu ramai menyebabkan bas turut digerakkan untuk menghantar mereka ke pusat perubatan.

Di hospital berdekatan, sukarelawan berbaris untuk menderma darah.

Penumpang yang masih dalam keadaan terkejut dan berlumuran darah menunggu bantuan, ketika doktor bergegas untuk menghentikan pendarahan dan memberi sokongan kepada mereka yang cedera teruk.

Sumber BH Online & AFP

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here