Home Buletin Semasa REMAJA REDA TIGA JARI PUTUS GARA-GARA SPOKET MOTOSIKAL

REMAJA REDA TIGA JARI PUTUS GARA-GARA SPOKET MOTOSIKAL

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

PEKAN: “Saya seolah bermimpi apabila sebahagian tiga jari tangan kiri saya kini putus, kejadian berlaku begitu pantas dan tidak pernah diduga sama sekali,” kata Mohammad Airiel Iskanda Mohamad Suhaimi, 19.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam Rabu minggu lalu, episod malang menimpa remaja berkenaan apabila tiga jari tangan kirinya putus selepas terkena spoket bahagian depan motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang di Jalan Pekan-Nenasi dekat Kampung Nenasi Baru, di sini.

Menceritakan kembali detik itu, Mohammad Airiel Iskanda  yang menetap bersama keluarga di Kampung Nenasi, di sini, berkata kesunyian malam tahun baharu 1 Muharam bermula detik hitam dalam hidupnya apabila berlaku kejadian yang tidak pernah diduga hingga meletakkan dirinya kini berstatus orang kelainan upaya (OKU) sepanjang hayat.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia cuba mengambil sesuatu sebelum tiga jarinya tersepit pada spoket, kejadian berlaku begitu pantas tanpa menyebabkan rasa sakit yang kuat.

“Selepas menunggang motosikal sejauh lebih satu kilometer (km) bahagian tangan kiri saya mula kebas, saya seolah tidak percaya apabila melihat darah begitu banyak pada pakaian selepas tiga jarinya putus. Saya meneruskan perjalanan ke Klinik Kesihatan Nenasi bagi mendapatkan rawatan awal.

“Selepas mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Nenasi saya diarahkan untuk segera ke Hospital Pekan bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana kecederaan yang dialami begitu serius. Pembedahan menutup luka pada tiga jari perlu dilakukan segera,” katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, pada pagi Rabu lalu dia berada di bilik bedah untuk proses pembedahan yang mengambil masa kira-kira sejam sebelum dibenarkan keluar hospital kelmarin, rawatan mencuci luka perlu dilakukan setiap hari di Klinik Kesihatan Nenasi.

Mohammad Airiel berkata, rakannya yang membantu mencuci motosikalnya terjumpa dua daripada tiga cebisan jarinya yang terlekat ada spoket motosikal.

“Bagaimanapun, doktor tidak dapat menyambung cebisan jarinya kerana faktor kebersihan selain hampir hancur dan mati,”katanya.

Tambahnya lagi, dua rakan yang turut sama pada malam kejadian banyak membantu bagi mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Nenasi sebelum bapanya membawanya ke Hospital Pekan bagi mendapatkan rawatan lanjut seterusnya pembedahan.

“Sebelum ini saya begitu tertekan kerana tidak dapat menerima hakikat kehilangan tiga jari seterusnya berstatus insan cacat, perasaan malu dan rendah diri turut muncul tanpa sukar dikawal. Saya mudah merajuk dan tidak dapat mengawal perasaan, lebih selesa bersendirian dalam bilik.

“Alhamdulillah hari ini saya mula dapat menerima takdir yang disediakan Yang Maha Esa, saya reda dengan apa yang berlaku dan yakin pasti ada hikmah disebalik kejadian hitam yang menimpa dirinya,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori milik keluarga.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here