FOXBOROUGH: England dianggap ‘bernasib baik’ kerana tidak dihukum dengan sepakan penalti pada penghujung perlawanan ketika terikat tanpa jaringan menentang Ghana dalam aksi Kumpulan L
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian,bekas pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), Mark Halsey mendedahkan pertahanan England, Ezri Konsa bertindak meluru dengan melakukan terjahan keras ke atas pemain tengah Ghana, Prince Adu di dalam kotak penalti pada minit ke-79.
Bagaimanapun, insiden berkenaan terlepas daripada penelitian pembantu pengadil video (VAR) yang dikendalikan oleh Armando Villarreal, sekali gus menyelamatkan skuad kendalian Thomas Tuchel daripada mengalami kekalahan mengejut.
“Ezri Konsa tersangat bertuah kerana tidak menyebabkan pasukan lawan diberikan sepakan penalti. Dia meluru masuk, langsung tidak menyentuh bola dan jelas mengasari lutut Prince Adu.
“Insiden itu kemudiannya diputuskan sebagai kedudukan ofsaid (oleh pengadil garisan), namun kesalahan (terjahan Konsa) itu sebenarnya berlaku terlebih dahulu sebelum ofsaid dikesan.
“VAR langsung tidak meneliti semula kekasaran itu, jadi England boleh menganggap diri mereka bertuah kerana tidak tewas dalam perlawanan ini,” kata Halsey kepada SunSport.
Peminat bola sepak di media sosial turut menyuarakan kehairanan mengapa pengadil utama, Said Martinez tidak dipanggil ke skrin monitor tepi padang untuk melihat semula rakaman terbabit dengan rata-rata menyifatkan tindakan Konsa sebagai ‘kesalahan jelas’ yang sepatutnya diberikan penalti dan kad merah.
Dalam pada itu, aksi berkenaan turut dicemari kontroversi di luar padang apabila pertahanan England, Djed Spence didakwa enggan bersalaman dengan bintang tengah Ghana, Thomas Partey sebelum perlawanan bermula.
Rakaman video menunjukkan Spence sengaja berjalan melepasi pemain Arsenal itu, yang sebelum ini dilaporkan berdepan dengan beberapa pertuduhan membabitkan kes jenayah seksual di London antara tahun 2020 hingga 2022.
Ketegangan membabitkan Spence tidak berakhir di situ apabila dia turut dirakam menerima arahan keras dan teguran bertubi-tubi daripada Tuchel ketika tempoh rehat pendek pada separuh masa pertama. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






