MOSCOW: Sebuah pusat beli-belah di Moscow bakal mencipta sejarah dunia apabila merancang membina kolam memancing dalam bangunan yang pertama seumpamanya bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap aktiviti rekreasi berkenaan, lapor Oddity Central.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, kolam buatan manusia berukuran 10 x 3 meter itu akan menjadi tarikan unik yang menempatkan pelbagai spesies ikan termasuk kap, kap krusian, tench, bream, perch, keli dan rudd bagi membolehkan sehingga 16 pemancing mencuba nasib pada satu-satu masa.
Segala kelengkapan seperti joran dan umpan akan disediakan di lokasi. Selain itu, aksi pemancing di dalam kolam itu boleh disaksikan oleh pengunjung melalui paparan skrin besar hasil bantuan kamera khas yang dipasang di dalam kolam berkenaan.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada projek ini direka sebagai tarikan sebenar untuk pemancing tegar atau sekadar hiburan bagi pengunjung khususnya sementara menunggu pasangan mereka membeli-belah.
Menurut pencetus projek berkenaan, kolam memancing dalam bangunan pertama di dunia ini akan berfungsi sebagai “pulau alam semula jadi” yang tenang di tengah-tengah kesibukan pusat beli-belah berkenaan.
Bagi mewujudkan suasana santai, aktiviti memancing di situ turut akan diiringi dengan bunyi alam seperti kicauan burung dan katak.
Walaupun tarikh pembukaan rasmi dan kos pembinaan belum diumumkan, terdapat spekulasi bahawa aktiviti memancing di lokasi itu mungkin ditawarkan secara percuma memandangkan terdapat peraturan yang tidak membenarkan pengunjung membawa pulang hasil tangkapan.
Setiap pengunjung yang berjaya menaikkan ikan diwajibkan melepaskannya semula ke dalam kolam. Namun, mereka akan diberikan ganjaran dalam bentuk mata ganjaran yang boleh ditebus untuk membeli pelbagai barangan di pusat beli-belah berkenaan.
Walaupun kaedah tangkap dan lepas itu dilihat lebih berperikemanusiaan, projek berkenaan bagaimanapun gagal meraih sokongan daripada beberapa kumpulan aktivis haiwan.
Menurut mereka, tindakan menyangkut mulut ikan dengan mata kail secara berterusan dari pagi hingga malam setiap hari sepanjang minggu dianggap sebagai satu bentuk penderaan terhadap hidupan akuatik berkenaan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






