Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pengeluaran durian yang berlaku secara serentak di Pahang dan Johor menajdi faktor utama harga ‘raja buah’ itu kini murah berbanding sebelum ini.
Musang King, IOI, D24, udang merah dan duri hitam yang sebelum ini dijual dengan harga kayangan, namun kini harganya jatuh seterusnya mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat apabila dijual antara RM8 hingga RM15 mengikut gred serta saiz.
Peniaga, Mohd Azmi Osman, 40, berkata pengeluaran durian di Raub dan Segamat gugur secara serentak dengan jumlah yang banyak berlaku sejak bulan lalu dan dijangka berakhir bulan depan.
“Apabila buah banyak menyebabkan harganya jatuh seterusnya memberi peluang pada penggemar raja buah itu memenuhi selera dan keinginan tanpa rasa bimbang perlu membayar pada kayangan,” di sini hari ini.
Katanya, dia mendapat bekalan durian klon dan kampung dari Segamat yang sememangnya terkenal dengan raja buah itu, bekalan buah diterima daripada pemborong utama selain membeli terus di kebun selain memajak pokok.
“Musim kali ini membuka peluang pada penggemar durian menikmati raja buah itu dengan sepuas-puasnya, musang king yang sebelum ini dijual dengan harga mahal namun kini harganya apabila dijual antara RM8 hingga RM15 mengikut gred serta saiz.
“Selain dijual secara timbang, pasaran turut dilakukan secara bakul dan guni dengan harga antara RM25 hingga RM30 bagi durian kampung,” katanya.
Katanya, setiap hari dia mampu menjual antara dua hingga tiga tan durian kampung termasuk musang king, permintaan bertambah dua hingga tiga kali ganda pada hujung minggu dan cuti am.
Seorang lagi peniaga, Md Faizal Mat Daut, 45, berkata selain durian Segamat dia turut mendapat bekalan dari pekebun dan pemborong di Raub yang mengusahakan tanaman di atas tanah sendiri bukan tanah haram.
“Saya gembira dapat memasarkan durian pada harga lebih murah berbanding sebelum ini yang dianggap sebagai buah kayangan kerana harganya begitu mahal dan membebankan pada golongan berpendapatan rendah.
“Penggemar durian boleh singgah di kawasan jualan durian di daerah ini untuk menikmati pelbagai jenis durian klon dan kampung,” katanya.
IMedikel TV






