Home Sukan KONTROVERSI WARNA JERSI BRAZIL DI PIALA DUNIA

KONTROVERSI WARNA JERSI BRAZIL DI PIALA DUNIA

46
0

MORRISTOWN: Menjelang aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia menentang Scotland, tumpuan terhadap Brazil bukan hanya tertumpu kepada usaha mereka memburu tiket ke pusingan 32 terbaik, malah turut dipalit kontroversi berkaitan warna jersi.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, penjaga gol utama Brazil, Alisson Becker, dijangka memakai jersi hijau ketika menentang Scotland awal pagi esok walaupun sebelum ini Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyenaraikan jersi merah sebagai pilihan rasmi untuk perlawanan itu.

Perubahan itu mungkin dianggap perkara biasa di kebanyakan negara, namun di Brazil, warna jersi pasukan kebangsaan kini mempunyai kaitan rapat dengan landskap politik negara berkenaan.

Warna kuning dan hijau yang sinonim dengan skuad Selecao sejak sekian lama dikaitkan dengan penyokong bekas presiden berhaluan kanan, Jair Bolsonaro, manakala warna merah pula sering dikaitkan dengan parti berhaluan kiri yang dipimpin Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.

Laporan media tempatan mendakwa Presiden Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), Samir Xaud, mengarahkan penggunaan jersi hijau berbanding merah, namun beliau menegaskan keputusan itu dibuat lebih awal dan bukan atas faktor politik. 

“Saya meminta perkara itu kerana kami sudah membincangkannya sejak beberapa waktu lalu. Kami mahu mengutamakan warna bendera Brazil,” katanya. 

Menurut Xaud, beliau turut mengemukakan permintaan kepada pengeluar pakaian sukan, Nike, sejak Ogos tahun lalu supaya membatalkan penggunaan jersi merah bagi penjaga gol.

Beliau menegaskan langkah itu bertujuan mengangkat identiti kebangsaan dan bukannya didorong pertimbangan politik.

CBF dalam kenyataan rasmi menjelaskan FIFA memilih jersi merah sebagai salah satu pilihan tanpa mengetahui ia bukan sebahagian daripada koleksi rasmi yang digunakan Brazil sepanjang kejohanan.

Menurut badan induk itu, FIFA menetapkan setiap pasukan perlu mengemukakan empat pilihan jersi penjaga gol, namun jersi merah yang disenaraikan hanya sebagai pilihan keempat dan tidak pernah dipasarkan atau digunakan secara rasmi.

Isu warna jersi kebangsaan terus menjadi perdebatan hangat di Brazil apabila sebahagian penyokong mengelakkan penggunaan jersi kuning dan hijau kerana tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana gerakan politik.

Dalam masa sama, ada penyokong berhaluan kiri menghasilkan jersi tidak rasmi berwarna merah yang memaparkan logo CBF sebagai simbol sokongan terhadap ideologi mereka.

Ketika Brazil berusaha memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati, kontroversi berkaitan warna jersi sekali lagi membuktikan bola sepak dan politik masih sukar dipisahkan di negara lima kali juara dunia itu. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here