Home Luar Negara MERATAP TUNANG MENINGGAL DUNIA, RUPANYA DIALAH SUSPEK PEMBUNUHNYA

MERATAP TUNANG MENINGGAL DUNIA, RUPANYA DIALAH SUSPEK PEMBUNUHNYA

30
0

INDIA: Mereka mengumumkan pertunangan pada Februari dan perkahwinan gilang-gemilang yang membabitkan jet peribadi serta istana dijadualkan berlangsung pada November.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, namun, beberapa bulan sebelum penyatuan yang dinanti-nantikan itu, Ketan Vishal Agarwal, 26, maut selepas terjatuh hampir 400 kaki (121.92 meter) ke dalam gaung di Fort Lohagad, Maharashtra.

Memetik laporan NDTV, insiden menimpa pengarah perniagaan hartanah kendalian keluarga itu menurut polis, bukan disebabkan tersalah langkah tetapi adalah kes pembunuhan dengan suspek utama ialah tunang Ketan sendiri, Siya Goyal.

Pembunuhan itu dilakukan pada 18 Jun dan selepas kematian Ketan diketahui umum, Siya berkongsi hantaran hiba di Instagram Story miliknya bagi meratapi kematian mangsa yang kini menjadi sebahagian daripada bahan siasatan polis.

“Anda tinggalkan saya pada hari lahir saya. Anda pergi ketika kita sudah begitu dekat untuk berkahwin. Saya masih tidak faham mengapa anda buat begini kepada saya.

“Saya mempunyai impian dan persoalan yang tidak akan pernah saya temukan jawapannya. Mengapa anda tinggalkan saya sedangkan saya teramat mencintai anda? Semoga tenang di sana,” menurut kandungan hantaran berkenaan.

Perkongsian kisah itu turut menyertakan klip video memaparkan mangsa diikuti rakaman pasangan itu menari selain menampilkan sebaris ayat dalam bahasa Hindi: “Mere dil ko pata hai ki tu yahi hai. Wapas aaja.” (Hati saya tahu bahawa anda ada di sini. Kembalilah.)

Sebelum kejadian tragis itu, bapa mangsa, Vishal Agrawal, mendakwa pasport Ketan dicuri secara misteri ketika berada di dalam uncang yang sama di dalam kereta semasa mereka berhenti di sebuah pusat makan.

Situasi itu menyebabkan rancangan Ketan dan Siya untuk ke Bali, Indonesia dari Mumbai bagi sesi fotografi praperkahwinan terpaksa dibatalkan.

Siya kemudiannya mendesak mangsa untuk mengadakan sambutan pra-hari lahirnya pada 18 Jun di kubu bukit berkenaan dan mangsa meninggalkan rumah pada jam 8.20 pagi dan sekitar jam 10.45 pagi, keluarga mangsa menerima panggilan telefon daripada ibu Siya yang mendakwa Ketan terjatuh ke dalam lembah.

Polis luar bandar Lonavala pada mulanya mendaftarkan laporan kematian mengejut selepas Siya mendakwa tunangnya tergelincir ketika mengambil foto akibat angin kencang.

Namun, bapa mangsa curiga kerana Siya langsung tidak menunjukkan reaksi sedih atau menangis apabila polis tiba membawa mayat anaknya.

Siasatan lanjut polis mendedahkan beberapa perkara yang tidak konsisten sehingga mendorong pasukan penyiasat memeriksa pelbagai sudut termasuk unsur sabotaj sebelum risikan mendapati Siya menjalin hubungan sulit dengan Chetan Babulal Chaudhary, 22, penduduk Kondhwa.

Chetan dikatakan tidak gembira dengan perkahwinan aturan keluarga yang dirancang di sebuah istana di Udaipur, Rajasthan itu dan menganggap mangsa sebagai penghalang hubungan mereka.

Pihak berkuasa mendedahkan Siya bertindak memancing Ketan ke kubu berkenaan sebelum Chetan dipanggil ke lokasi sama. Pasangan kekasih itu didakwa berpakat menolak Ketan dari arah belakang ke dalam gaung serta sengaja merancang keadaan itu supaya kelihatan seperti kemalangan.

Pada Selasa, Polis Luar Bandar Pune menahan kedua-dua suspek susulan aduan daripada bapa mangsa dengan kes pembunuhan dan pakatan jenayah kini didaftarkan di bawah peruntukan berkaitan dalam Bharatiya Nyaya Sanhita selepas maklumat diperoleh semasa sesi soal siasat dijalankan. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here