Home Buletin Semasa OPS ‘LITTLE MIDDLE EAST’: JIM TAHAN 30 WARGA ASING DI SERI KEMBANGAN

OPS ‘LITTLE MIDDLE EAST’: JIM TAHAN 30 WARGA ASING DI SERI KEMBANGAN

48
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

SELANGOR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 30 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi Ops ‘Little Middle East’ yang dijalankan di One South Plaza di sini pada Selasa.

Operasi bersepadu yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu menyasarkan kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan warga asing, khususnya dari rantau Timur Tengah.

“Operasi bermula kira-kira jam 12.30 tengah hari melibatkan 53 pegawai pelbagai pangkat dari Cawangan Tindakan Khas, Bahagian Penguatkuasaan JIM serta lima pegawai KPDN.

“Operasi tersebut dijalankan susulan aduan awam dan hasil risikan selama seminggu yang mendapati kawasan berkenaan dipercayai menjadi lokasi aktiviti warga asing yang melanggar peraturan imigresen,”menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, sebanyak 15 premis perniagaan termasuk restoran, kiosk makanan, pusat jualan dan premis komersial lain diperiksa kerana disyaki menggaji serta melindungi warga asing tanpa kebenaran yang sah.

“Hasil pemeriksaan terhadap 64 individu, seramai 30 warga asing ditahan bagi membantu siasatan.

“Mereka terdiri daripada warganegara Yemen, Somalia, Afghanistan, Ghana, Pakistan dan Bangladesh yang berusia antara 26 hingga 35 tahun.

Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas yang diberikan,”jelas kenyataan itu..

Dalam operasi sama, JIM turut mengeluarkan satu Borang 29 saman terhadap seorang warganegara Malaysia bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes yang dikesan.

Sementara itu, KPDN mengenakan kompaun sebanyak RM300 terhadap seorang pemilik premis atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Semua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,”menurut kenyataan itu.

JIM menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan dan bersasar bagi mengesan warga asing yang tinggal secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan.

Jabatan itu turut memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak melindungi, menggaji atau menyediakan perlindungan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here