Alor Setar, KEDAH: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain kagum dengan kebangkitan ditunjukkan pemainnya selepas menang 2-1 pada aksi Liga Super ke-13 menentang Sabah FC di Stadium Darul Aman semalam.
Dua gol dihasilkan Sang Kenari menerusi pemain naturalisasi, Lee Tuck pada minit ke-41 dan ke-71 berbalas satu gol oleh Sabah FC melalui pemain importnya Gabriel Perez di awal permainan ternyata cukup melegakan kem Sang Kenari.
Menurut Nafuzi, persembahan meyakinkan yang ditunjukkan pemainnya sepanjang perlawanan yang mahu bangkit daripada kekecewaan kekalahan lalu membuktikan skuadnya kini semakin menunjukkan peningkatan yang diharapkan.
“Apa yang pemain tunjukkan adalah semangat untuk bangkit dari kekalahan lalu ketika tewas kepada Selangor FC 2-3 dan pada malam ini (semalam) kami berjaya bangkit dari ketinggalan satu gol untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan ini.
“Saya rasa ini satu intesiti permainan tinggi ditunjukkan pemain dari awal hingga akhir perlawanan dan boleh dikatakan ianya antara perlawanan yang terbaik pasukan dari segi penguasaan permainan dan mencipta peluang dalam memburu gol.
“Saya sedar ianya bukan aksi yang mudah buat kami, namun pemain berjaya menunjukkan peningkatan demi peningkatan dengan komitmen yang baik,” katanya.
Sementara itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menerima dan akur dengan kekalahan skuadnya.
Kim Swee berkata, skuadnya yang ditunjangi kapten yang juga bekas pemain Kedah. Baddrol Bakhtiar mendahului menerusi Gabriel Perez namun gagal mempertahankan kedudukan sebelum lawan bangkit menguasai perlawanan dengan dua gol.
“Kami tewas pada pasukan yang lebih baik pada perlawanan ini dan kami harus akur dengan kemenangan yang diperolehi pasukan Kedah dan kelemahan ini harus kami perbaiki,” katanya.
Kim Swee berkata, bagi memastikan kebangkitan Sabah FC dalam pusingan kedua nanti, skuadnya perlu segera melihat setiap kelemahan dengan segara agar kedudukan Sabah FC tidak terkeluar dari landasan yang ditetapkan musim ini.
Sumber BH Online
Imedikel TV






